TIGA SALAH FAHAM TERHADAP ADHD DEWASA

Ramai yang menganggap ADHD hanya terjadi pada kanak-kanak dan akan ‘sembuh’ menjelang umur dewasa. Kefahaman yang cetek mengenai ADHD ini menyebabkan berlakunya banyak salah faham dan stigma terhadap individu ADHD dewasa. Secara tidak langsung menyukarkan mereka untuk mendapatkan rawatan dan sokongan yang diperlukan.

Salah Faham 1 – Sukar Tumpukan Perhatian

Mengambil salah satu daripada simptom ADHD iaitu sukar menumpukan perhatian membuatkan ramai orang normal rasa mereka juga mempunyai ADHD atau ada simptom ADHD ringan.

Tambahan pula sekarang ini kita hidup dalam era Internet dan komunikasi digital. Lambakan maklumat tersedia apabila diperlukan. Ditambah dengan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok yang sentiasa menghidangkan pelbagai jenis maklumat dan hiburan.

Hal ini membuatkan ramai orang leka dan menghabiskan banyak masa di media sosial sehingga sukar untuk menumpukan perhatian terhadap tugasan yang perlu disiapkan.

Tidak dapat fokus akibat dihujani pelbagai maklumat tidak bermaksud seseorang itu mempunyai ADHD, selagi kesukaran tersebut tidak menjejaskan kehidupan seharian. Biasanya simptom ADHD muncul sejak seseorang masih kanak-kanak.

Seseorang itu tidak akan tiba-tiba mendapat ADHD semasa mereka telah dewasa melainkan mereka lambat untuk mendapatkan diagnosis.

Simptom ADHD yang dialami sebenarnya telah muncul sejak mereka kecil tetapi menjadi lebih ketara dan mengganggu kehidupan ketika masuk umur dewasa dimana cabaran kehidupan makin bertambah dan ketiadaan persekitaran berstruktur seperti ketika waktu kanak-kanak.

Salah Faham 2 – Individu ADHD Dewasa Biadab

Sifat impulsif yang ada dalam diri individu ADHD membuatkan tingkah laku mereka mudah disalah tafsir oleh orang lain. Mereka akan melontarkan kata-kata yang ada dalam fikiran tanpa berfikir panjang sehingga ada kalanya menggores hati orang lain.

Apabila sedang berbual, mereka sering mencelah ketika orang lain sedang bercakap atau menjawab sebelum orang lain menghabiskan pertanyaan. 

Selain itu, individu ADHD tidak mempunyai kesabaran yang tinggi. Jika mereka perlu berbaris untuk melakukan sesuatu, mereka tidak mampu menunggu lama dan akan bertindak memotong barisan.

Ini antara contoh masalah yang dialami individu ADHD. Orang biasa terutama individu yang tidak faham mengenai ADHD akan menilai tingkah laku ini sebagai kurang beradab. Individu ADHD sering dilihat sebagai orang yang kurang common sense. Hal ini membuatkan individu ADHD rasa sangat rendah diri.

Perkara yang individu normal boleh kawal ini tidak mampu dikawal dengan baik oleh individu ADHD. Cara otak mereka menafsirkan maklumat tidak sama seperti orang biasa sehingga mereka dianggap kurang sensitif.

Salah Faham 3 – Orang Dewasa Boleh Mengawal ADHD Dengan Mudah

Melihat kepada simptom-simptom individu ADHD, individu normal akan rasa permasalahan mereka bukanlah satu situasi besar. Individu normal berpendapat bahawa jika individu ADHD berusaha dengan lebih kuat, mereka boleh mengatasi masalah yang membelenggu diri.

ADHD adalah masalah pembangunan neuro (neurodevelopmental disorder) dan bukanlah masalah perilaku (behaviour disorder).

Penilaian ini tidak adil buat individu ADHD. Sesiapa yang tidak melalui apa yang dilalui oleh individu ADHD tidak akan memahami betapa sunyinya kehidupan mereka hanya kerana cara mereka berfikir tidak sama seperti orang biasa.

Tanpa rawatan dan sokongan, ADHD boleh menyebabkan pelbagai masalah serius dalam kehidupan, perhubungan, dunia pekerjaan dan keselamatan ketika memandu. Malah, orang yang mempunyai ADHD berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental lain.

ADHD yang tidak dikawal dengan baik boleh membawa kepada kemurungan, kegelisahan, penyakit bipolar, dan penyalahgunaan dadah.

Kesimpulan

Kebanyakan individu normal pasti pernah mengalami simptom ADHD. Namun bagi individu ADHD, simptom yang dialami oleh mereka berlaku dengan kadar kekerapan yang lebih tinggi dan lebih parah. 

Satu perkara yang perlu difahami, ADHD adalah berkait rapat dengan tindak balas kimia dalam otak seseorang. Proses penerimaan dan penghantaran maklumat dalam otak individu ADHD dan individu normal tidak sama. 

Sekiranya anda fikir bahawa anda memiliki simptom ADHD, elakkan daripada membuat diagnosis sendiri. Rujuklah doktor untuk diagnosis yang tepat dan dapatkan rawatan yang bersesuaian sekiranya perlu.

Rujukan

Baker, D. (n.d.) Top 10 Adult ADHD Myths. https://www.unpackingadhd.com/resources/top-10-myths-about-adult-adhd/

Ho, J. & Kittleson, K. (2020, March 11) ADHD in Adulthood: The Signs You Need to Know. [Video] YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=-8J4wl9eUe4&t=488s

Levine, H. & Bhandari, S. (2019, November 13) Things People With ADHD Wish You Knew. https://www.webmd.com/add-adhd/adhd-wish-you-knew

Peterson, T.J. & Croft, H. (2019, June 18) ADHD and Rudeness: How to Change People’s Perception of You. https://www.healthyplace.com/self-help/adhd/adhd-and– rudeness-how-to-change-people-s-perception-of-you

Pera, G. (n.d.) Myth #8: Having ADHD Is No Big Deal! https://adhdrollercoaster.org/myth– busting/myth-9-having-adhd-is-no-big-deal/Sharifah Sakinah & Aznil Nawawi (2021, March 25) HARD TO HEART | Sharifah Sakinah Mengaku Menghidap penyakit ADHD [Full Episode] [Video] YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=ckNmLhC0aUI

Disemak oleh: Dr Rowina Lynne Murray

Photo by Andre Hunter on Unsplash

Tingkatkan Kesedaran ADHD Anda

Sertai Konvensyen Virtual ADHD Malaysia yang bakal berlansung pada 10-21 Disember ini.

APA ITU ADHD?

Nama saintifik ADHD adalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder. Dalam Bahasa Melayu, ADHD ialah; Gangguan Kekurangan Perhatian dan Hiperaktif.Maksud ADHD tidak

Teruskan Bacaan »

KENALI ADHD

“Anak puan mempunyai masalah untuk fokus di  dalam kelas, suka bermain, kacau kawan dan kadang-kadang mengelamun jauh.” Apabila guru memberitahu

Teruskan Bacaan »