ADHD: ANTARA MITOS & FAKTA

ADHD merupakan salah satu penyakit yang masih kurang diberi perhatian. Kesedaran yang sedikit menyebabkan munculnya pelbagai mitos mengenai penyakit ini. 

Mitos 1 – ADHD Tidak Wujud

Fakta: Sebenarnya, banyak kajian yang telah dibuat mengenai ADHD. Terdapat lebih daripada 100,000 artikel mengenai ADHD dan rujukan mengenai penyakit ini boleh dijumpai dalam buku teks perubatan sejak tahun 1775. 

Hasil kajian juga mendapati bahawa ADHD melibatkan masalah serius dari segi kurang daya tumpuan, hiperaktif dan impulsif. Terdapat perbezaan struktur otak antara individu ADHD dan individu normal. Perbezaan ini memberi kesan besar terhadap tingkah laku pesakit dalam kehidupan seharian. 

Mitos 2 – Individu ADHD Tidak Boleh Menumpukan Perhatian

Fakta: Walaupun individu yang memiliki ADHD mudah terganggu dengan keadaan sekeliling, mereka juga boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap sesuatu aktiviti, terutama sekali aktiviti yang digemari.

Bahkan apabila berada dalam keadaan hiperfokus iaitu terlalu fokus terhadap sesuatu, mereka tidak sedar akan masa yang berlalu, tugasan lain yang perlu dibuat dan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Mitos 3 – ADHD Berpunca Daripada Didikan Ibu Bapa Yang Bermasalah

Fakta: Ramai orang melihat anak-anak ADHD mempunyai masalah tingkah laku kerana ibu bapa tidak mengajar mereka untuk menjadi lebih berdisiplin. Namun, mereka tidak sedar simptom ini berkait rapat dengan tindak balas kimia di dalam otak anak ADHD, bukan hasil didikan ibu bapa. 

Kajian saintifik mendapati ADHD berpunca daripada pelbagai risiko persekitaran dan genetik. Selain itu, struktur otak dan sistem saraf otak menyebabkan masalah daya tumpuan, hiperaktif dan kecenderungan bertindak luar kawalan. 

Walaupun ADHD bukan berpunca daripada hasil didikan ibu bapa, tetapi ia boleh menyebabkan permasalahan terhadap cara didikan ibu bapa terhadap anak istimewa ini. Ibu bapa yang terlalu tegas terhadap anak ADHD dan menghukum mereka atas kesalahan yang mereka tidak boleh kawal boleh memburukkan lagi gejala ADHD.

Mendidik anak ADHD merupakan satu cabaran besar buat ibu bapa. Peranan ibu bapa sangat penting dalam membantu anak ADHD belajar mengurus diri dan meningkatkan keyakinan mereka. 

Mitos 4 – Orang Yang Ada ADHD Adalah Pemalas

Fakta: Masalah ADHD bukanlah berkaitan motivasi dan sifat malas walaupun adakalanya individu ADHD juga ada sifat malas seperti kebanyakan manusia normal. Fungsi sistem saraf otak yang berbeza menjadikan sesetengah aktiviti harian sangat mencabar buat mereka. Antaranya ialah memberi tumpuan, mengutamakan tugasan penting, memulakan sesuatu perkara, mengurus emosi, dan melakukan beberapa perkara dalam masa yang sama.

Apabila kita menyuruh individu ADHD supaya lebih fokus dan berusaha lebih rajin, analoginya sama seperti kita menyuruh orang yang rabun jauh untuk membaca tulisan kecil pada jarak yang jauh tanpa bantuan cermin mata. 

Simptom ADHD dalam diri mereka bukanlah sesuatu yang boleh dikawal.

Mitos 5 – Hanya Kanak-Kanak Lelaki Mempunyai ADHD

Fakta: Kanak-kanak lelaki lebih ramai didiagnosis mempunyai ADHD kerana tingkah laku mereka yang hiperaktif sehingga mengganggu sesi pembelajaran dalam kelas. Sebenarnya tidak semua individu ADHD mempunyai simptom hiperaktif.

Misalnya, ada kanak-kanak perempuan yang sering mengelamun dalam kelas. Simptom kurang daya tumpuan ini sering terlepas daripada pandangan guru ataupun ibu bapa kerana fikiran mereka yang menerawang tidak mengganggu sesi pembelajaran. Kanak-kanak perempuan yang tidak didiagnosis awal sebagai ADHD cenderung mengalami kemurungan (depression) dan kegelisahan (anxiety) apabila mereka meningkat dewasa. 

ADHD boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, cuma simptom yang dialami oleh setiap individu ADHD adalah berbeza antara satu sama lain.

Kesimpulan

Pengetahuan mengenai ADHD amat penting terutama dalam kalangan ibu bapa. Diagnosis awal memberi peluang kepada ibu bapa untuk memberi sokongan terhadap anak mereka dan membantu individu ADHD untuk lebih memahami diri sendiri. Bagi orang dewasa pula, sangat penting untuk berhenti mempercayai mitos dan dapatkan diagnosis untuk kesejahteraan diri sendiri.

Rujukan

ADHD Coaches Organization (2019, October 31) Myth: People with ADHD just can’t concentrate. https://www.adhdawarenessmonth.org/concentration-myth/

Barkley, R.A. (2019, September 14) Myth: ADHD doesn’t exist. https://www.adhdawarenessmonth.org/thousands-studies-say-adhd-is-real/

Brown, T.E (2019, September 29) Myth: ADHD is just an excuse for laziness. https://www.adhdawarenessmonth.org/adhd-excuse-for-laziness/

Faraone, S.V. (2019, October 16) Myth: ADHD is caused by bad parenting. https://www.adhdawarenessmonth.org/myth-adhd-caused-by-bad-parenting/

Frank, M. (2019, October 20) Myth: Only boys have ADHD. https://www.adhdawarenessmonth.org/myth-only-boys-have-adhd/

Taylor-Klaus, E. (2019, October 21) Myth: ADHD is Caused by Bad Parenting (Part 2) https://www.adhdawarenessmonth.org/does-bad-parenting-cause-adhd/

Review oleh: Dr Rowina Lynne Murray Binti Jeffery Murray

Ada kisah & pengalaman ADHD yang hendak dikongsi? Hantarkan artikel anda di sini.

Tingkatkan Kesedaran ADHD Anda

Sertai Konvensyen Virtual ADHD Malaysia yang bakal berlansung pada 10-21 Disember ini.

APA ITU ADHD?

Nama saintifik ADHD adalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder. Dalam Bahasa Melayu, ADHD ialah; Gangguan Kekurangan Perhatian dan Hiperaktif.Maksud ADHD tidak

Teruskan Bacaan »

KENALI ADHD

“Anak puan mempunyai masalah untuk fokus di  dalam kelas, suka bermain, kacau kawan dan kadang-kadang mengelamun jauh.” Apabila guru memberitahu

Teruskan Bacaan »