ADHD DEWASA: SIMPTOM YANG PERLU ANDA KETAHUI

Maksud ADHD

(Attention Deficit Hyperactivity Disorder) ADHD adalah suatu bentuk gangguan perilaku yang umumnya berlaku di peringkat kanak-kanak. Namun simptom ADHD telah dikenal pasti boleh berlaku pada orang dewasa sama ada individu dewasa itu sedar ataupun tidak. Gejala yang dipamerkan semasa kanak-kanak dilihat hampir sama ketika dewasa. 

Kajian komuniti di Missouri mendapati nisbah lelaki menghidap ADHD berbanding wanita ialah 4:1, bagi diagnosis sebelum berumur 12 tahun. Nisbah ini mungkin berbeza mengikut kajian tempatan lain namun persamaan kajian adalah lebih ramai lelaki yang menghidap ADHD berbanding perempuan. 

Kesedaran seseorang tentang kecelaruan yang dihidapinya mungkin lewat disebabkan pendedahan awam tentang ADHD sangat kurang. Jadi ramai penghidap ADHD tidak menyedarinya sehingga ada peristiwa atau life event yang meletus dalam kehidupannya. Mereka kemudiannya cuba mencari dan mendapatkan pertolongan. Seseorang yang tidak didiagnosis semasa kanak-kanak, akan disahkan mengalaminya apabila dewasa. 

Ciri-ciri simptom ADHD

Ini antara ciri-ciri simptom ADHD yang biasa terdapat pada orang dewasa:

Ketaktumpuan (Inattention)

Antara gejalanya adalah:

  • Kurang perhatian kepada perincian sesuatu perkara.
  • Kesukaran memulakan dan menyiapkan sesuatu kerja.
  • Kesukaran memberi dan mengawal tumpuan dalam tempoh yang panjang.
  • Mudah lupa.
  • Kemahiran organisasi yang lemah.
  • Pengurusan masa yang lemah.

Kita lihat contoh ADHD yang kurang fokus. Jika diberi tugasan di tempat kerja, individu ini selalu melengah-lengahkan kerja tersebut. Dia menghadapi kesukaran untuk memulakannya. Jika buat pun, tidak dapat menumpukan perhatian lama, jadi kerja itu banyak kali terhenti-henti. Dia hanya akan mula menyambungnya pada saat-saat akhir dan berada dalam tekanan yang sangat tinggi untuk menyiapkannya. Mungkin dia akan meminta tempoh untuk menyerahkan kerja diperpanjang. 

Dalam situasi lain, seorang isteri terlupa tarikh ulang tahun perkahwinan mereka. Dalam fikirannya, informasi itu ‘remeh’ tetapi bagi suami & isteri itu adalah tarikh yang penting dalam kehidupan mereka. Penghidap ADHD sering lupa, jadi dia perlu mencatatnya atau set masa (membuat reminder) supaya ingat. Mereka lupa janji temu, seperti sengaja memungkirinya. Kejadian seperti ini boleh menimbulkan masalah dalam hubungan.

Impulsif

Antara gejalanya adalah: 

  • Gelisah (fidgeting)
  • Keresahan
  • Kerap mengganggu suasana (percakapan atau perbuatan) 
  • Bercakap berlebihan

Individu impulsif cenderung bercakap tidak kena masa, dan dilihat seakan-akan mencelah percakapan orang lain. Kalau mereka gelisah, kita akan nampak kelakuan seperti menggoyangkan lutut tanpa henti, bermain pen atau membuat doodle semasa mesyuarat. Mereka menghadapi kesukaran untuk duduk diam dan bertenang.

Kesukaran Mengawal Emosi 

Orang dewasa yang mengalami ADHD sukar mengawal emosi diri. Mereka mudah marah dan tahap marahnya itu selalunya berlebihan. Orang luar akan nampak mereka seperti mengamuk. Begitu juga emosi sedih atau kecewa yang mungkin membawa kemurungan. Ketika ini mereka mungkin tidak dapat berfikir dengan jelas, dikhuatiri mereka akan mendapat kemalangan atau mencederakan diri.  

Toleransi Kekecewaan Yang Rendah 

Individu dewasa yang mengalami ADHD mempunyai toleransi yang rendah terhadap kekecewaan. Misalnya, jika lukisan yang disiapkan terkoyak, dia boleh menangis atau marah berlebihan. Orang yang dekat dengannya ketika itu boleh menjadi mangsa amarahnya. Jika hasil kerja tidak dapat disiapkan dengan kualiti yang diharapkan, mereka sangat mudah berasa kecewa.

Kesimpulan 

Orang sekeliling yang tidak mengenali penghidap ADHD akan menganggap mereka pemalas, sukar untuk bergaul dan tidak menyumbang kepada kerja berkumpulan. Mereka mungkin dilabel sebagai pembawa masalah oleh rakan sekerja, keluarga malah pasangan hidup. 

Jika tidak mendapatkan rawatan sewajarnya, masalah ini boleh berlarutan dan akan mengeruhkan lagi urusan harian, mengganggu tugas dan perkembangan karier. Hubungan sosial sesama kawan, keluarga dan pasangan juga akan terkesan.  

Oleh itu, penting untuk orang dewasa mengenali simptom-simptom ADHD, mendapatkan diagnosis dan rawatan yang bersesuaian serta efektif. Jangan diagnosis sendiri, sebaliknya dapatkan pengesahan daripada profesional kesihatan atau pakar perubatan. Dengan rawatan yang betul, tidak dinafikan mereka yang mempunyai ADHD boleh berjaya di tempat kerja dan boleh menjalani kehidupan harian seperti orang biasa.

Rujukan: 

MedCircle. (2020, Mar 11). ADHD in Adulthood: The Signs You Need to Know. [Video] https://youtu.be/-8J4wl9eUe4 

Heidi Bernhardt, RN. Red Flags for Adult ADHD. https://caddac.ca/understanding-adhd/in-adulthood/adult-symptoms/ 

ADDitude Editors (2021, July 28). Adult ADHD: A Guide to Symptoms, Signs, and Treatments. https://www.additudemag.com/adhd-in-adults/ Dr. Ujjwal P. Ramtekkar, M.D., M.P.E., Dr. Angela M. Reiersen, M.D., M.P.E., Dr. Alexandre A. Todorov, Ph.D., and Dr. Richard D. Todd, Ph.D., M.D. Sex and age differences in Attention-Deficit/Hyperactivity Disorder symptoms and diagnoses: Implications for DSM-V and ICD-11. J Am Acad Child Adolesc Psychiatry. 2010 Mar; 49(3): 217–28.e1-3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3101894/

Review oleh: Dr. Arifah Abd Rahim

Ada kisah & pengalaman ADHD yang hendak dikongsi? Hantarkan artikel anda di sini.

Tingkatkan Kesedaran ADHD Anda

Sertai Konvensyen Virtual ADHD Malaysia yang bakal berlansung pada 10-21 Disember ini.

3 Comments

Comments are closed.

APA ITU ADHD?

Nama saintifik ADHD adalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder. Dalam Bahasa Melayu, ADHD ialah; Gangguan Kekurangan Perhatian dan Hiperaktif.Maksud ADHD tidak

Teruskan Bacaan »

KENALI ADHD

“Anak puan mempunyai masalah untuk fokus di  dalam kelas, suka bermain, kacau kawan dan kadang-kadang mengelamun jauh.” Apabila guru memberitahu

Teruskan Bacaan »