Masyarakat: Menyelami Situasi Individu ADHD & Peranan Masyarakat Kepada Penghidap ADHD Sebagai Tempat Sokongan

Mengenali ADHD

ADHD ialah singkatan kepada Attention Deficit Hyperactivity Disorder. ADHD adalah kecelaruan yang terjadi disebabkan oleh tindak balas kimia dalam otak yang berperanan menerima dan menghantar maklumat tidak seimbang.

Seseorang yang mempunyai ADHD kebiasaannya mempunyai masalah untuk memberi tumpuan, tidak mampu mengawal tingkah laku (impulsif) dan hiperaktif.

ADHD dikategorikan kepada tiga subjenis:

  1. Inattentive Atau Kurang Daya Tumpuan

Kanak-kanak yang mempunyai ADHD sangat sukar memberi perhatian terhadap sesuatu perkara. Jika di dalam kelas, mereka cenderung untuk mengelamun jauh dan melihat sekeliling berbanding mendengar pengajaran daripada guru. 

  1. Hiperaktif – impulsif

Kanak-kanak yang hiperaktif sentiasa mahu melakukan sesuatu. Mereka sukar untuk duduk diam, suka menggerak-gerakkan anggota badan, sentiasa mahu bermain dan bercakap banyak. 

Mereka yang mengalami ADHD mempunyai masalah untuk mengawal tingkah laku dan emosi. Bagi penderita ADHD, perasaan mahu melakukan sesuatu perbuatan sangat kuat sehingga mereka tidak mampu untuk bersabar dan berfikir tentang impak perbuatan tersebut. Mereka yang mempunyai sifat hiperaktif-impulsif juga mempunyai ketidaksabaran untuk menunggu giliran dan kerap mengganggu orang lain. 

  1. Combined Type atau Jenis Gabungan

Gabungan kedua-dua ciri di atas dikenali sebagai ADHD Combined Type.  Kanak-kanak yang mempunyai gabungan kedua-dua ciri tersebut akan dilihat sebagai sangat nakal. Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana sememangnya kanak-kanak suka bermain dan sesetengah daripada mereka juga mempunyai masalah tingkah laku. Namun, sebahagian yang lain mempunyai masalah ADHD yang berkait rapat dengan masalah sistem saraf otak yang mengawal proses kognitif mereka. 

ADHD dan Masalah Fokus

Pesakit ADHD sukar untuk memberi tumpuan dalam sesuatu perkara; tidak kira di dalam kelas atau perbualan sesama rakan. Fikiran mereka sentiasa menerawang. 

Ketika disoal, mereka mungkin tidak mampu menjawab soalan berkaitan topik tersebut kerana mengalami masalah ‘lupa’ secara tiba-tiba. Ia sama seperti sikap kita yang kadang-kadang terlupa tujuan ketika sedang asyik mencari barang. 

Bagi mereka yang normal, ini adalah perkara yang biasa. Namun bagi pesakit ADHD, keadaan ini berlaku dengan lebih kerap. Otak mereka tidak mampu memberikan isyarat yang sepatutnya ketika diperlukan.

Sokongan Untuk Penghidap ADHD Dewasa

Apabila mengetahui ada kenalan atau ahli keluarga yang menghidap ADHD, kita hilang punca, tidak tahu bagaimana mahu membantu? Salah satu perkara yang diperlukan adalah sokongan.

Setelah Mendapat Diagnosis

Menelusuri kehidupan sebagai salah seorang individu ADHD merupakan satu jalan yang berliku-liku terutama buat individu ADHD yang mendapat diagnosis ketika sudah dewasa. Kelainan pada diri sendiri yang dirasai selama ini akhirnya terjawab. 

Cara pemikiran mereka yang berbeza dengan individu normal menyebabkan mereka rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan diri sendiri. Apabila diluahkan kepada orang lain, tiada siapa yang dapat memahami. Setiap masa mereka menghadapi masalah tidak yakin diri. 

Sokongan Orang Sekeliling

Selain mendapatkan rawatan doktor, individu ADHD memerlukan sokongan orang lain di sekeliling mereka bagi menjalani kehidupan dengan lebih baik. Jika ada antara ahli keluarga dan kawan rapat kita merupakan individu ADHD, jadilah pendengar yang baik kepada mereka. Walaupun tidak dapat memahami apa yang mereka rasa, kita boleh bantu mengubah perspektif pemikiran mereka.

Individu ADHD sering mempunyai fikiran negatif dalam diri sehingga mereka terlepas pandang akan perkara positif yang wujud. Apabila fikiran negatif mula meracuni fikiran, mereka perlukan teman untuk bercerita. 

Contohnya ketika situasi mereka perlu membuat pembentangan di hadapan ramai orang. Setelah pembentangan tamat, hampir keseluruhan penonton memberikan tepukan yang gemuruh. Hanya seorang sahaja yang memberikan komen bahawa pembentangan tersebut membosankan. Individu ADHD akan fokus terhadap seorang yang memberikan komen negatif ini dan membuat konklusi sendiri bahawa pembentangannya tidak bagus. Jadi, individu ADHD perlukan seseorang untuk betulkan perspektif mereka dan menilai daripada sudut pandang positif. Dalam situasi ini, kita boleh beritahu bahawa ada lebih ramai yang suka pembentangan tersebut, maka individu ADHD perlu berbangga dengan usaha yang dilakukan. 

Sokongan Komuniti ADHD

Selain ahli keluarga dan rakan, sokongan komuniti ADHD juga merupakan satu langkah yang bagus. Berada dalam komuniti yang mempunyai keadaan neurologi yang sama menjadikan individu ADHD lebih mudah untuk memahami antara satu sama lain.

Walaupun simptom setiap individu ADHD tidak sama, namun mereka akan temui persamaan besar seperti kepayahan menjalani kehidupan seharian. Dengan adanya komuniti ini, mereka boleh menjadi diri sendiri dan rasa selamat untuk saling berkongsi cerita mengenai cabaran yang perlu dilalui setiap hari.

Sokongan Lain

Individu ADHD juga boleh mendapatkan sokongan dengan memelihara haiwan. Tiada bukti yang jelas mengatakan haiwan peliharaan membantu individu ADHD. Namun, memelihara haiwan boleh memberi ketenangan kepada kebanyakan orang. 

Selain itu, menghargai keindahan alam semula jadi, berdamai dengan masa lalu, dan melakukan aktiviti kerohanian juga merupakan terapi terbaik untuk individu ADHD. Perkara-perkara ini dapat membantu individu ADHD membina imej positif terhadap diri sendiri.

Menyelami Fikiran Individu ADHD

Pesakit ADHD, fikiran mereka bercampur baur. Otak mereka tidak mampu untuk memproses segala maklumat yang diterima pada masa yang sama. Contohnya seperti siaran TV yang berbeza sedang berebut untuk masuk ke dalam saluran yang sama secara serentak. Akibatnya, siaran menjadi terputus-putus kerana sistem overload

Di sekolah, murid yang mempunyai masalah ADHD mungkin hanya dapat menumpukan perhatian kepada guru pada lima minit pertama. Kemudian, fikiran mereka menerawang. Bunyi kicauan burung di luar kelas boleh sahaja menjadi pencetus untuk mereka mengelamun jauh dan melupakan sesi pelajaran yang sedang berlaku. 

Bukanlah mereka tidak mahu tumpukan perhatian, tetapi tindak balas kimia di dalam otak yang tidak seimbang membuatkan mereka sedikit impulsif. Mereka tidak mampu menghiraukan gangguan yang datang.

Bermula daripada kicauan burung di luar kelas, pelajar dengan ADHD mula hilang fokus. Fikiran mereka mudah terbawa-bawa kepada hal lain yang tidak berkenaan dengan sesi pembelajaran yang sedang berlangsung. 

Individu ADHD juga cenderung mempunyai masalah komunikasi. Seperti yang kita tahu, komunikasi yang baik berbentuk dua hala. Namun, pesakit ADHD susah untuk fokus ketika berbicara. Mereka mudah untuk terganggu dengan bunyi kipas, derap langkah dan mungkin sahaja tahi lalat pada wajah lawan bicara. 

Menariknya ADHD ini, ada keadaan di mana penderitanya dapat menumpukan perhatian dalam sesuatu perkara khusus tetapi tidak dalam perkara lain. Keadaan ini digelar sebagai hiperfokus. Jadi, jangan pelik bagaimana seorang remaja boleh memberikan tumpuan penuh ketika bermain bola atau pelajaran seni, tetapi tidak dalam hal lain.

Stigma Terhadap Individu ADHD Dan Cara Mengatasi

“Kamu ada ADHD, bagaimana nak teruskan bekerja dengan baik?”

“Awak macam tak ada masalah pun nak belajar, maknanya awak okey, kan?”

“Saya lihat kamu sihat sahaja, kenapa pula nak mengada-adakan cerita pasal ADHD? Mahu dapat layanan istimewa?”

Apabila mendapat respon begini, individu ADHD dewasa akan tertanya-tanya pada diri;

“Betul ke aku ni ada ADHD?” 

Ataupun ada situasi lain, mereka tidak mahu dilihat sebagai individu yang mempunyai situasi kesihatan. Walhal mereka berasa ada sesuatu yang mengganggu fungsi harian.

Malah mereka sudah pun mencari dan mendapatkan banyak informasi tentang gejala ADHD. Tapi disebabkan stigma orang yang rapat, mereka sendiri akhirnya lambat mendapatkan bantuan.

Ada juga sudah menerima diagnosis daripada pakar psikiatri, tetapi keluarga atau rakan rapat masih berasa sangsi. 

Disebabkan stigma, keadaan kesihatan individu ADHD didiskriminasikan berdasarkan karakter yang dilihat normal.

Kenapa Ada Stigma?

Masyarakat yang kurang faham cenderung untuk melabel individu ADHD sebagai mengada-ngada, malas, lemah atau tidak tahan dengan cabaran pekerjaan. Satu lagi tanggapan yang salah, seseorang yang berjaya dalam kerjaya tidak mungkin mempunyai situasi ADHD. 

Tekanan sebegini menyebabkan individu itu mengelak daripada berkongsi keadaan diri dengan orang terdekat, bimbang disalah anggap.

Jenis-jenis Stigma

Stigma ini terbahagi kepada dua, iaitu luaran dan dalaman.

Stigma Faktor Luaran

Masyarakat yang kurang kesedaran mengenai ADHD menyebabkan individu ADHD menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Tanggapan stereotaip oleh keluarga atau rakan rapat seperti pemalas, cuai atau lembab mengakibatkan mereka menyalahkan diri dan berasa rendah diri

Walaupun mungkin orang terdekat sudah mengetahui keadaannya, mereka tetap melayan seperti tiada apa-apa yang berlaku kerana beranggapan semua itu adalah perkara “dalam kepala mereka” sahaja.

Stigma Faktor Dalaman 

Bagaimana penerimaan diri setelah didiagnosis oleh psikiatri?

Pada awalnya pasti agak sukar untuk menerima hakikat diri yang lain daripada orang biasa.

Stigma diri mula timbul, rasa kekurangan pada diri kerana berasa tidak mampu berjaya seperti orang lain. Tidak mustahil, pada satu tahap individu ini akan berasa diri sendiri tidak berguna. 

Stigma diri dikeruhkan pula dengan stigma luaran menyebabkan ADHD dewasa diselubungi pemikiran negatif. Kesannya? Mereka kurang berkeyakinan, mudah patah semangat, dan akhirnya dilanda kemurungan (depresi), disebabkan sangkaan bahawa semua itu disebabkan kelemahan diri.  

Bagaimana mengatasi stigma?

Individu ADHD perlu mengatasi keraguan ini dan yakin bahawa mereka juga boleh berjaya. Salah satu, mencari aktiviti bersesuaian mengikut kemampuan dan skil yang dimiliki.

Mereka akan lebih cemerlang dalam perkara yang diminatiSetiap individu ADHD berbeza, maka tahap kesukaran menguruskan gejala juga berlainan. 

Bagaimanakah cara untuk mengatasi stigma ini?

1. Pendidikan

Baca, baca dan baca. Hanya dengan ilmu, individu ADHD dapat mengatasi stigma luar dan diri. Hadirkan ke program & wacana ilmiah. Didik diri dahulu, barulah berkongsi pengetahuan dengan orang lain.

Penerimaan diri 

Walaupun sudah dibekalkan dengan maklumat berkaitan, namun jika masih dalam penafian, agak sukar untuk meneruskan kehidupan. Aktiviti rutin akan lebih mudah apabila individu ADHD mula menerima keadaan diri

Dengan rawatan, ADHD dewasa mampu mengurus diri dengan lebih baik. Perlu menerima bahawa dengan adanya pelbagai bantuan, mereka juga boleh berjaya. 

Kefahaman dan Kesedaran Awam

Pelbagai program perlu dijalankan untuk kesedaran masyarakat terutama daripada kerajaan dan agensi berkaitan. Sebagai individu ADHD, anda juga boleh menjadi “duta” berkongsi maklumat dengan keluarga dan rakan. Walaupun dalam skala kecil dan mengambil masa, usaha itu membantu dalam menyebarkan kesedaran. 

Anda boleh juga turut serta dalam progam awam dan bersama-sama menyampaikan maklumat. Jadilah ejen perubahan untuk melahirkan masyarakat lebih peduli dan ambil berat.

Persekitaran yang menyokong

Latar belakang keluarga dan persekitaran yang menyediakan sokongan amat membantu individu ADHD. Keadaan ini sedikit sebanyak memudahkan mereka menjalani rutin harian terutama di tempat belajar atau kerja.

Jika perlu, berundinglah dengan pihak majikan. Mungkin anda memerlukan waktu kerja yang fleksibel, ataupun memerlukan ruang kerja yang tersendiri.

Individu ADHD memiliki kelebihan tersendiri jika berada di tempat yang betul dengan sokongan yang baik.

Kesimpulan

Stigma menghalang ADHD dewasa mencapai potensi sebenar. Pandangan serong lebih-lebih lagi daripada keluarga dan rakan rapat menyukarkan lagi kehidupan ADHD dewasa. 

Aspek pendidikan dan kesedaran umum dapat mengurangkan persepsi negatif terhadap individu ADHD. Dengan dorongan dan sokongan, mereka mampu fokus kepada rawatan dan pengurusan gejala yang lebih baik demi menikmati kehidupan lebih tenang dan teratur.

Rujukan