Individu dewasa yang mempunyai simptom ADHD kebanyakannya akan berasa mereka berbeza daripada orang lain. Antara perbezaan yang dialami adalah seperti kesukaran untuk menumpukan perhatian, tidak dapat duduk diam-diam untuk sesuatu tempoh atau sukar mengawal keterujaan.
Mereka juga selalu meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi terhadap diri sendiri dan apabila tidak berjaya mencapainya, mereka akan mudah berasa kecewa dan mengkritik diri.
Adakah anda pernah tanya soalan ini kepada diri sendiri, “Mengapa saya ada simptom ini? Adakah ini simptom ADHD? Perlukan saya dapatkan diagnosis?”
Jika rutin harian anda terganggu sehingga tidak dapat menyelesaikan kerja, selalu berasa resah dan sukar tidur malam yang berterusan, penting untuk anda mendapatkan pertolongan.
Jika anda yakin ada beberapa gejala ADHD yang dialami, jumpa pakar perubatan untuk dapatkan diagnosis dengan segera untuk memastikannya.
Tidak elok membiarkan keadaan berterusan atau tunggu dengan harapan situasi tersebut akan berlalu. Anda tidak perlu malu dan risau dilabel orang sekeliling. Kesihatan mental anda adalah lebih utama. Segera mendapatkan diagnosis sebelum kualiti kehidupan anda terganggu.
Rawatan Psikiatri Atau Psikologi?
Langkah pertama ialah berjumpalah dengan mana-mana doktor tidak kira klinik kerajaan atau swasta untuk mendapatkan surat rujukan. Kemudian bawa surat itu berjumpa dengan pakar kesihatan seperti pakar psikologi atau psikiatri. Hanya doktor pakar yang boleh mengesahkan sekiranya anda betul-betul menghidap ADHD atau kategori kesihatan lain.
Pakar psikiatri akan membuat penilaian dalam sesi rawatan. Mereka akan bertanya tentang kehidupan anda semasa kecil hingga dewasa. Doktor akan menilai simptom anda berdasarkan DSM-V (Diagnostic Statistical Manual 5) ketika saringan kriteria sebelum mengesahkan anda dengan diagnosis ADHD.
Apabila pesakit telah disahkan, pakar psikiatri akan menetapkan ubat yang sesuai dengan anda. Secara amnya ada dua jenis ubat iaitu stimulant dan non-stimulant. Ubat-ubat ini secara am tidak menyebabkan apa-apa kesan tetapi ada yang mungkin akan mengalami kesan sampingan seperti seperti sakit kepala, kurang selera makan dan insomnia.
Kesan sampingan ini kebanyakannya hanyalah kesan sementara dan boleh diatasi dengan berbincang dengan doktor yang merawat agar mengubahsuai dos atau menukar preskripsi jenis ubat mengikut kondisi anda.
Doktor juga selalunya menyarankan rawatan gabungan terapi dan ubatan kerana keberkesanan yang lebih baik untuk individu ADHD. Mereka dapat mencari keseimbangan dalam melakukan rutin dan mengawal gejala dengan baik. Kerana individu ADHD dewasa sering mengalami komorbid yang lain, doktor juga mungkin akan memberi preskripsi ubat-ubatan untuk merawat gangguan lain seperti anxiety dan depresi.
Sokongan Keluarga Dan Rakan-Rakan
Doktor pakar mungkin meminta anda membawa pasangan atau ahli keluarga untuk sesi perjumpaan. Sokongan moral dan emosi orang terdekat penting untuk individu ADHD menjalani kehidupan harian mereka.
Ahli keluarga dan rakan-rakan yang rapat perlu memahami dan membantu dalam aktiviti harian mereka. Pada ketika ini mereka sangat perlukan dorongan dan kekuatan daripada orang terdekat.
Rutin ADHD Dewasa
Individu ADHD perlu membiasakan diri dengan rutin yang baru untuk membantu mereka memudahkan urusan harian. Jika mudah lupa, perlu set peringatan untuk janji temu. Jika sukar fokus ketika bekerja, ambil masa rehat sebentar dan sambung semula. Sediakan saaran-sasaran kecil untuk menyiapkan kerja supaya lebih fokus. Anda akan dapat mengawal masa dan tekanan.
Bagi individu dengan hiperaktif defisit, kurangkan komitmen jika tidak mampu melibatkan diri secara aktif. Misalnya, jika sudah menyertai gim, tidak perlu menyertai kelas senaman lain. Atau anda akan cenderung untuk tidak aktif apabila menyertai sesi secara berterusan. Jadi, tumpukan kepada satu komitmen pada satu masa.
Jika sukar memilih baju untuk dipakai, kurangkan jumlah pakaian di dalam almari. Rutin yang diperbaiki dapat memudahkan individu ADHD. Nampak remeh bagi orang biasa, tetapi bagi mereka, perubahan kecil ini membantu kualiti hidup mereka.
Kesimpulan
Otak individu ADHD sentiasa aktif, tidak berhenti ‘bekerja’ memikirkan aktiviti yang menyeronokkan atau memberi kepuasan adrenalin. Orang sekeliling tidak menyedari cabaran yang mereka lalui secara jelas kerana mereka masih berfungsi seperti orang normal. Sekiranya simptom yang ada mengganggu kualiti hidup anda, segera dapatkan bantuan pakar. Tidak rugi untuk dapatkan kepastian, supaya kualiti hidup dapat diperbaiki kemudiannya.
Rujukan
Dr Hazli Zakaria. (2020, Aug 3). ADHD Dewasa. [Video]. https://fb.watch/85FIjAuFlr/
Dr. Hazli Zakaria, Sharifah Sakinah. (2021, Feb 21). Adult Adhd Its Time To Pay Attention. [Video] https://www.facebook.com/UUMCounsellingCentre/videos/707612133289058
Prof. Dr. Ramli Musa. (2018, Jun 27). Cara Mendapat Rawatan Pakar Psikiatri di Kuantan dan di Malaysia Amnya. https://www.ramlimusa.com/cara-mendapat-rawatan-pakar-psikiatri/
Disemak oleh: Dr Rowina Lynne Murray Binti Jeffery Murray