Ramai yang menyangka diagnosis ADHD hanya boleh dikesan dan dialami semasa kanak-kanak. Maka individu dewasa tidak mendapatkan diagnosis yang sewajarnya sekalipun pada ketika mengalami simptom-simptom yang jelas mengganggu kehidupan seharian.
Situasi ini menyebabkan cabaran individu ADHD semakin sukar apabila meningkat dewasa. Ia menjadi lebih serius apabila memasuki alam pekerjaan. Di situ mula timbul pergelutan baru. Maka, sangat penting untuk individu ADHD mendapatkan diagnosis yang tepat daripada profesional kesihatan seperti pakar psikologi atau pakar psikiatri.
Ramai individu ADHD dewasa yang terlepas diagnosis ketika kanak-kanak kerana simptom mereka yang lebih terkawal dengan bimbingan keluarga dan persekitaran yang berstruktur. Justeru, simptom ADHD hanya dikesan ketika sudah mengganggu dan memberi cabaran kepada kefungsian hidup ketika melalui alam kehidupan dewasa.
Cabaran Alam Pekerjaan
“Kenapa aku tidak boleh mengetuai team di unit baru ni?” Ada individu ADHD yang mula trigger apabila mendapat kenaikan pangkat.
Jawatan baru itu memerlukannya mengetuai kumpulan baru. Tekanan mula muncul apabila terpaksa mengenali orang baru dan pada masa yang sama perlu membahagikan kerja. Laporan projek juga perlu diserahkan kepada atasannya selain memastikan projek selesai mengikut masa yang ditetapkan. Tekanan sebegini boleh membuatkan individu ADHD dilanda cemas dan resah. Atau lebih teruk, individu ADHD akan mengalami serangan panik.
Peristiwa tertentu yang berlaku semasa dewasa membuatkan individu ADHD berasa tidak dapat berfungsi dengan baik. Prestasi di tempat kerja makin merosot. Pada waktu itu, barulah mereka mula mencari pertolongan dan akhirnya berjumpa pakar psikiatri. Keadaan ini juga menyebabkan kebanyakan individu ADHD dewasa didiagnos dengan anxiety dan depresi sebelum mendapat diagnosis ADHD.
Cabaran Dalam Keluarga
Kadang-kadang ahli keluarga sendiri tidak faham walaupun individu ADHD cuba menerangkan berkali-kali mengenai situasi yang dihadapi. Sebabnya mereka mungkin tidak tahu atau kurang pendedahan tentang ADHD. Keadaan ini menyebabkan individu ADHD amat terkesan kerana dianggap mengada-ngada dan mahukan lebih perhatian.
“Awak lupa tarikh hari jadi saya? Ini bukan kali pertama!”
Jika sudah berkahwin, pasangan akan berkecil hati jika tidak ingat tarikh-tarikh bermakna dalam kehidupan mereka. Maklumat itu mungkin “tidak penting” pada minda individu ADHD tetapi besar maknanya kepada pasangan. Pasangan mungkin berasa diri tidak dihargai.
Keluarga perlu memahami dan berperanan menjadi “orang kanan” mereka. Individu ADHD dewasa kena diingatkan berkali-kali tentang sesuatu perkara. Jika keluarga atau pasangan tidak endah, individu ADHD akan lebih tertekan, dan berkemungkinan mengalami depresi. Hubungan kekeluargaan boleh jadi tegang kerana salah faham akan mengakibatkan pertengkaran.
Cabaran Kepada Kewangan
Salah satu gejala ADHD ialah impulsif. Mereka tidak berfikir panjang dan bertindak melulu. Pembelian impulsif adalah salah satu gejala ADHD. Situasi membeli barang yang tidak diperlukan sering berlaku. Jika tidak terkawal, tidak mustahil individu ADHD akan terbelenggu dengan masalah hutang.
Ada individu ADHD “suka” memberi pinjam duit apabila diminta, kemudian mereka sendiri lupa untuk mendapatkannya semula. Keadaan ini menjadikan individu ADHD senang ditipu oleh orang yang mengambil kesempatan.
Apabila situasi ini berterusan, individu ADHD akan menghadapi kesukaran dalam menguruskan perbelanjaan seterusnya mempengaruhi perancangan kewangan untuk masa depan mereka.
Cabaran Sosial
Sesetengah individu ADHD sukar berinteraksi dengan baik. Ada yang lambat memproses perbualan dan ada yang suka mencelah ketika bercakap. Ini menyebabkan mereka dilabel pendiam, lembab atau suka menyampuk ketika berbual. Mereka mungkin kelihatan pelik atau tidak beradab. Stigma ini membuatkan mereka kurang selesa berada dalam kelompok orang ramai.
Boleh jadi sejak kecil, dia tidak pandai berinteraksi, maka membesar dengan tidak mempunyai ramai kawan. Akan tetapi petanda ini jarang diambil serius atas sangkaan memiliki personaliti introvert. Kesukaran interaksi sosial akan menjejaskan keyakinan individu ADHD dan mengganggu sekiranya dibiarkan berterusan.
Kesimpulan
Cabaran seorang ADHD dewasa sangat sukar apabila melibatkan aktiviti harian. Untuk jangka panjang, simptom ADHD yang tidak berjaya diuruskan dengan baik akan membebankan. Kerja terbengkalai dan memberi kesan emosi yang tidak stabil. Kehidupan perlahan-lahan menjadi tidak teratur.
Diagnosis penting untuk mencari punca, memahami diri dan cara untuk mengawal gejala yang dialami supaya dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Sokongan keluarga dan kawan-kawan amat berharga untuk melalui hari. Kepercayaan dan motivasi daripada orang sekeliling memberikan keyakinan untuk mengharungi cabaran sebagai individu ADHD dewasa.
Rujukan
Dr Hazli Zakaria. (2020, Aug 3). ADHD Dewasa. [Video]. https://fb.watch/85FIjAuFlr/
Dr. Hazli Zakaria, Sharifah Sakinah. (2021, Feb 21). Adult Adhd Its Time To Pay Attention. [Video] https://www.facebook.com/UUMCounsellingCentre/videos/707612133289058
Disemak oleh: Dr Rowina Lynne Murray Binti Jeffery Murray
Photo by Muhammad Faiz Zulkeflee on Unsplash