
Secara statistik, dianggarkan terdapat 3.4% penduduk dunia yang mengalami ADHD* dan mungkin peratus ini lebih tinggi di sesetengah negara.
Jika diunjurkan angka ini ke Malaysia, 3% daripada 32.7 juta penduduk ialah sekita 1 juta. Dianggarkan terdapat 1 juta penduduk di negara kita yang berkemungkinan mempunyai ADHD, dan majoritinya tidak didiagnos.
Sehingga kini, masih terdapat banyak isu berkaitan ADHD di negara kita. Ini termasuklah kesukaran mendapatkan akses rawatan yang disebabkan oleh sumber rawatan terhad dan kos yang tinggi apabila perlu mendapatkan khidmat klinik atau hospital swasta.
Situasi ini berisiko mendorong sebahagian individu ADHD memilih rawatan kendiri sebagai jalan keluar, sekali gus membawa kepada penggunaan ubat-ubatan atau bahan terlarang.
Satu lagi isu yang menyukarkan proses pemulihan dan adaptasi individu ADHD adalah stigma sosial. Sokongan dan penerimaan keluarga masih belum cukup membina, selain pelbagai label yang membebankan emosi diberikan kepada individu ADHD.
Dalam hal pekerjaan pula, simptom individu ADHD tidak diurus dengan betul, menyebabkan terdapat beban tanggungjawab yang melibatkan skop kerja yang tidak sesuai.
Panduan kepada majikan dalam pengurusan dan pengambilan individu ADHD yang masih belum dibangunkan dengan baik juga menyukarkan perkembangan positif mereka.
Atas semua sebab ini, Cogniversity membangunkan portal ADHDMalaysia.com
Ini merupakan inisiatif daripada komuniti ADHD dewasa Malaysia.
Cogniversity merupakan perusahaan sosial yang ditubuhkan secara rasmi pada 1 Januari 2022 dengan matlamat untuk menjadi platform untuk membina kesedaran awam mengenai ADHD, terutamanya ADHD dewasa.
Kami percaya, adalah sangat penting bagi individu ADHD dewasa menerima diagnosis dan dirawat dengan baik sebelum intervensi kanak-kanak ADHD boleh dilakukan.
Visi kami adalah membolehkan individu ADHD dewasa di Malaysia khususnya mencapai potensi diri serta boleh boleh berfungsi dengan baik sebagai anggota masyarakat.
Visi ini digerakkan melalui dua misi utama, iaitu pertama, menyediakan platform yang menyokong kumpulan ADHD dewasa mengoptimalkan potensi diri melalui rawatan oleh profesional, bimbingan dan pembelajaran berterusan.
Misi kedua, mendidik masyarakat dan menyebarkan maklumat mengenai kesihatan mental, khususnya ADHD dewasa.
Terdapat empat nilai yang ditekankan dalam usaha mencapai visi ini iaitu:
i) Empati – kita tidak mahu mencipta alasan, jauh sekali meminta pengecualian daripada hal-hal berkaitan tanggungjawab sebagai individu dewasa. Sebaliknya, kita memberi penjelasan supaya pelbagai pihak di luar sana mengerti dan dapat berempati dengan individu ADHD ini.
ii) Saintifik – Cogniversity juga membawakan bukti-bukti saintifik mengenai kes ADHD dan memahami bahawa akan selalu ada perkembangan dalam praktis perubatan, umumnya dan dalam rawatan ADHD khususnya.
iii) Pembelajaran berterusan – kita akan bersama-sama menggerakkan perubahan dan membaiki kehidupan masing-masing, bagi membina hari dan masa hadapan yang lebih baik.
iv) Kolaborasi – komuniti ini mahu mewujudkan budaya kerjasama, dalam keadaan saling memahami kelebihan dan kekurangan setiap individu.
*Berdasarkan saringan DSM-IV pada 11,422 individu dewasa dengan ADHD di 10 negara di Amerika, Eropah dan Timur Tengah, prevalens individu dengan ADHD dewasa dianggarkan sebanyak 3.4% (Fayyad et al. 2007)
Sebarang cadangan atau maklum balas, sila emel ke [email protected]