EMPAT PUNCA KECELARUAN OTAK ADHD

Masalah ketersambungan otak

Di sel otak terdapat jalur panjang (axon) yang diselaputi fiber dinamakan selaput myelin. Selaput ini juga dipanggil “white matter” kerana berwarna cerah dan diperbuat daripada lemak. Sel-sel neuron berkomunikasi menggunakan dua jenis signal: elektrik dan kimia. Signal elektrik digunakan di dalam sel neuron itu sendiri manakala signal kimia di jurang antara dua neuron. Selaput myelin berfungsi seperti penebat plastik PVC yang menyaluti wayar konduktor elektrik. Tujuannya supaya ‘mesej’ berbentuk elektrik dapat dihantar dengan efisien tanpa ada kebocoran.

“White matter” dalam otak ADHD tidak sebanyak otak neurotipikal hasil daripada kajian pengimejan. Ini menyebabkan ‘mesej’ tidak dapat dihantar dengan baik dan mempengaruhi fungsi-fungsi kognitif.

Sumber: Encyclopaedia Britannica, Inc.

Gangguan koordinasi dalam ritma otak

Kajian menunjukkan semasa otak kita tidak digunakan untuk berfikir dan tumpu pada suatu tugasan (task-positive network, TPN), otak kita tidak shut down tetapi masuk ke zon default mode network (DMN).

Semasa di DMN inilah minda dalam sedar (conscious mind) kita menerawang tanpa fokus dan minda tanpa sedar (unconscious mind) mengorganisasi dan mengintegrasikan maklumat. Banyak ilham dan idea kreatif muncul ketika otak dalam DMN.

Namun begitu, otak individu yang ada ADHD tidak berkoordinasi dengan baik di antara DMN dan TPN. Mereka mengalami kesukaran untuk menyahaktif DMN semasa melakukan aktiviti yang memerlukan fokus.

Kelewatan dalam perkembangan otak

Fungsi-fungsi eksekutif dikawal oleh bahagian paling depan otak yang dipanggil prefrontal cortex. Prefrontal cortex merupakan bahagian paling perlahan dan paling lewat berkembang – mengambil masa lebih kurang 25 tahun untuk matang sepenuhnya.

Walau bagaimanapun untuk kanak-kanak yang ada ADHD, kajian menunjukkan perkembangan prefrontal cortex 3 hingga 5 tahun lebih lewat berbanding kanak-kanak neurotipikal. Perkembangan struktur lain otak berkembang seperti biasa.

Kelewatan ini membuatkan individu ADHD kelihatan kurang matang ketika di usia kanak-kanak dan remaja, terutamanya dari aspek pengurusan emosi dan kawalan impulsif. Menjenak ke usia lewat 20an, perkembangan prefrontal cortex ADHDer mulai setara dengan individu neurotipikal.

Namun agak terlambat kerana mereka yang ada ADHD telah terjejas pembelajaran, hubungan dengan orang lain, dan keyakinan dirinya.

Ketidakseimbangan kimia otak

Apa yang dimaksudkan dengan ketidakseimbangan kimia bukanlah neurotransmitter (kimia otak untuk penghantaran ‘mesej’ dari satu neuron ke neuron seterusnya) tidak dihasilkan dengan mencukupi. Otak ADHDer menghasilkan dopamine dan norepinephrine secukupnya seperti otak neurotipikal.

Akan tetapi di synapse iaitu jurang di antara neuron, neurotransmitter tidak dilepaskan (release) dan dimuat ulang (reload) dengan baik. Belum sempat ‘mesej’ dihantar ke neuron sebelah, neurotransmitter dah diserap semula ke tempat asalnya.

Oleh sebab itu, stimulan ADHD berfungsi untuk menutup dopamine transporter (DAT) dan norepinephrine transporter (NAT) supaya dopamine dan norepinephrine tidak diserap terlalu cepat sebelum ‘mesej’ dihantar. Barulah dopamine dan norepinephrine boleh berlegar di synapse dalam jangkamasa yang optimal.

Sumber: National Institute on Drug Abuse

Rujukan utama:

Smart but Stuck: Emotions in Teens and Adults with ADHD (2014) by Thomas E. Brown, PhD

Tingkatkan Kesedaran ADHD Anda

Sertai Konvensyen Virtual ADHD Malaysia yang bakal berlansung pada 10-21 Disember ini.

APA ITU ADHD?

Nama saintifik ADHD adalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder. Dalam Bahasa Melayu, ADHD ialah; Gangguan Kekurangan Perhatian dan Hiperaktif.Maksud ADHD tidak

Teruskan Bacaan »

KENALI ADHD

“Anak puan mempunyai masalah untuk fokus di  dalam kelas, suka bermain, kacau kawan dan kadang-kadang mengelamun jauh.” Apabila guru memberitahu

Teruskan Bacaan »