KENALI ADHD

“Anak puan mempunyai masalah untuk fokus di  dalam kelas, suka bermain, kacau kawan dan kadang-kadang mengelamun jauh.”

Apabila guru memberitahu tentang tingkah laku anak kita  yang tidak menyenangkan di dalam kelas, kita menjadi marah dan malu. Tidak kurang juga ada segelintir ibu bapa yang mengambil sikap endah tak endah. Kita beranggapan ‘Kanak-kanak memang nakal dan sukar beri tumpuan ketika belajar. Masalah ini akan hilang apabila umur mereka meningkat.’

Hati-hati. Periksa baik-baik.

Anak anda mungkin mempunyai ADHD. 

Apa itu ADHD?

ADHD ialah singkatan kepada Attention Deficit Hyperactivity Disorder. ADHD adalah penyakit yang terjadi disebabkan oleh tindak balas kimia dalam otak yang berperanan menerima dan menghantar maklumat tidak seimbang.

Seseorang yang mempunyai ADHD kebiasaannya mempunyai masalah untuk memberi tumpuan, tidak mampu mengawal tingkah laku (impulsif) dan hiperaktif.

Kategori ADHD

ADHD dikategorikan kepada tiga subjenis:

  1. Inattentive Atau Kurang Daya Tumpuan

Kanak-kanak yang mempunyai ADHD sangat sukar memberi perhatian terhadap sesuatu perkara. Jika di dalam kelas, mereka cenderung untuk mengelamun jauh dan melihat sekeliling berbanding mendengar pengajaran daripada guru. 

  1. Hiperaktif – impulsif

Kanak-kanak yang hiperaktif sentiasa mahu melakukan sesuatu. Mereka sukar untuk duduk diam, suka menggerak-gerakkan anggota badan, sentiasa mahu bermain dan bercakap banyak. 

Mereka yang mengalami ADHD mempunyai masalah untuk mengawal tingkah laku dan emosi. Bagi penderita ADHD, perasaan mahu melakukan sesuatu perbuatan sangat kuat sehingga mereka tidak mampu untuk bersabar dan berfikir tentang impak perbuatan tersebut. Mereka yang mempunyai sifat hiperaktif-impulsif juga mempunyai ketidaksabaran untuk menunggu giliran dan kerap mengganggu orang lain. 

  1. Combined Type atau Jenis Gabungan

Gabungan kedua-dua ciri di atas dikenali sebagai ADHD Combined Type.  Kanak-kanak yang mempunyai gabungan kedua-dua ciri tersebut akan dilihat sebagai sangat nakal. Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana sememangnya kanak-kanak suka bermain dan sesetengah daripada mereka juga mempunyai masalah tingkah laku. Namun, sebahagian yang lain mempunyai masalah ADHD yang berkait rapat dengan masalah sistem saraf otak yang mengawal proses kognitif mereka. 

Sebagai ibu bapa, penting untuk kita mengenal pasti masalah ini dari awal supaya potensi anak dapat dicungkil dengan sewajarnya. Anak-anak ADHD yang tidak dibantu dari awal, berpotensi untuk ketinggalan dalam banyak perkara dan masalah ini akan berlanjutan sehingga dewasa kerana ADHD tidak akan hilang dengan peningkatan usia.

ADHD dan Masalah Pembelajaran di dalam Kelas

Pesakit ADHD sukar untuk memberi tumpuan dalam sesuatu perkara; tidak kira di dalam kelas atau perbualan sesama rakan. Fikiran mereka sentiasa menerawang. 

Ketika disoal, mereka mungkin tidak mampu menjawab soalan berkaitan topik tersebut kerana mengalami masalah ‘lupa’ secara tiba-tiba. Ia sama seperti sikap kita yang kadang-kadang terlupa tujuan ketika sedang asyik mencari barang. 

Bagi mereka yang normal, ini adalah perkara yang biasa. Namun bagi pesakit ADHD, keadaan ini berlaku dengan lebih kerap. Otak mereka tidak mampu memberikan isyarat yang sepatutnya ketika diperlukan.

Misalkan guru bertanya soalan di dalam kelas. Kanak-kanak ADHD mungkin mempunyai jawapan ketika dia mengangkat tangan. Namun ketika tiba gilirannya untuk menjawab, idea dan segala maklumat tiba-tiba hilang. Oleh itu, pesakit ADHD cilik sering dikatakan mempunyai potensi yang sangat tinggi, tetapi tidak digunakan dengan sepenuhnya.

Mereka dilihat mampu mencapai keputusan yang lebih cemerlang jika menjadi “lebih serius” ketika belajar di dalam kelas. Hakikatnya, ia bukanlah disebabkan mereka tidak mempunyai kemahuan untuk menjadi lebih serius. Tetapi mereka tidak mampu berbuat demikian kerana tindak balas kimia di dalam otak mereka yang tidak normal. Proses penerimaan dan penghantaran maklumat di dalam otak mereka tidak teratur. Kadangkala, otak mereka boleh berfungsi dengan baik. Akan tetapi, fungsi otak pesakit ADHD selalunya menjadi kurang baik  dan mereka memerlukan bantuan dengan ubat-ubatan untuk mengawalnya.

Kesimpulan

Dengan melakukan diagnosis awal, potensi anak-anak yang mengalami masalah ADHD dapat dicungkil. Ibu bapa dapat bantu meringankan beban fikiran mereka dengan memahami lebih mendalam tentang penyakit ADHD dan cara menghadapinya.

Rujukan

Wilens, T. E., & Spencer, T. J. (2010). Understanding Attention-Deficit/Hyperactivity Disorder from Childhood to Adulthood. Postgraduate Medicine, 122(5), 97–109. https://doi.org/10.3810/pgm.2010.09.2206

Penulis: Editor ADHDMalaysia.com

Review oleh: Nurulnadiah Ahmad Kamil RPh

Ada kisah & pengalaman ADHD yang hendak dikongsi? Hantarkan artikel anda di sini.

Tingkatkan Kesedaran ADHD Anda

Sertai Konvensyen Virtual ADHD Malaysia yang bakal berlansung pada 10-21 Disember ini.

Comments are closed.

APA ITU ADHD?

Nama saintifik ADHD adalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder. Dalam Bahasa Melayu, ADHD ialah; Gangguan Kekurangan Perhatian dan Hiperaktif.Maksud ADHD tidak

Teruskan Bacaan »