Attention Deficit Hyperactivity Disorder atau lebih dikenali sebagai ADHD sebenarnya telah diakui oleh doktor sejak tahun 1902. Namun, dari tahun 1902 sehingga 1980, ia hanya dianggap sebagai masalah tingkah laku.
Antara tingkah laku yang dikesan ialah tidak dapat menumpukan perhatian ketika melakukan sesuatu tugasan, cenderung mengelamun dan sering bersikap semberono.
Selepas 1980, para pengkaji mulai sedar bahawa ciri-ciri yang ditunjukkan bukanlah disebabkan masalah tingkah laku. Sebaliknya, ia berkait rapat dengan tindak balas kimia di dalam otak yang berlainan daripada individu normal. Sistem penerimaan dan penghantaran maklumat yang berlaku di dalam otak seorang individu yang mengalami ADHD dapat diumpamakan seperti signal telefon yang sering terputus-putus.
Kesan paling utama akibat daripada masalah ini ialah seseorang individu itu sukar untuk menumpukan perhatian kepada sesuatu tugasan. Boleh dikatakan, hampir semua orang mempunyai masalah untuk fokus. Namun, manusia normal masih mampu untuk melatih fokus dalam beberapa keadaan. Hal ini berbeza bagi pesakit ADHD.
Pesakit ADHD, fikiran mereka bercampur baur. Otak mereka tidak mampu untuk memproses segala maklumat yang diterima pada masa yang sama. Contohnya seperti siaran TV yang berbeza sedang berebut untuk masuk ke dalam saluran yang sama secara serentak. Akibatnya, siaran menjadi terputus-putus kerana sistem overload.
Di sekolah, murid yang mempunyai masalah ADHD mungkin hanya dapat menumpukan perhatian kepada guru pada lima minit pertama. Kemudian, fikiran mereka menerawang. Bunyi kicauan burung di luar kelas boleh sahaja menjadi pencetus untuk mereka mengelamun jauh dan melupakan sesi pelajaran yang sedang berlaku.
Bukanlah mereka tidak mahu tumpukan perhatian, tetapi tindak balas kimia di dalam otak yang tidak seimbang membuatkan mereka sedikit impulsif. Mereka tidak mampu menghiraukan gangguan yang datang.
Bermula daripada kicauan burung di luar kelas, pelajar dengan ADHD mula hilang fokus. Fikiran mereka mudah terbawa-bawa kepada hal lain yang tidak berkenaan dengan sesi pembelajaran yang sedang berlangsung. Mereka boleh terfikirkan cerita yang ditonton semalam, lauk tengah hari nanti, ken dan bermacam-macam hal yang muncul secara tiba-tiba di fikiran.
Selain mempunyai masalah ketika belajar, pesakit ADHD juga cenderung mempunyai masalah komunikasi. Seperti yang kita tahu, komunikasi yang baik berbentuk dua hala. Namun, pesakit ADHD susah untuk fokus ketika berbicara. Mereka mudah untuk terganggu dengan bunyi kipas, derap langkah dan mungkin sahaja tahi lalat pada wajah lawan bicara.
Bagi individu normal, kita juga mudah terganggu, tetapi julat iritabiliti (lekas meragam) kita berada pada paras rendah. Berbeza halnya dengan pesakit ADHD yang julat iritabiliti mereka boleh menjangkau tinggi sehingga mereka sukar untuk duduk diam dan berbicara dengan orang lain.
Menariknya ADHD ini, ada keadaan di mana penderitanya dapat menumpukan perhatian dalam sesuatu perkara khusus tetapi tidak dalam perkara lain. Keadaan ini digelar sebagai hiperfokus. Jadi, jangan pelik bagaimana seorang remaja boleh memberikan tumpuan penuh ketika bermain bola atau pelajaran seni, tetapi tidak dalam hal lain. Hal ini membuatkan ibu bapa merasakan anak mereka cuma malas.
Kedua-dua contoh yang ditampilkan agak sukar dijadikan kayu ukur untuk diagnosis ADHD kerana kelihatan seperti masalah tingkah laku yang biasa. Hakikatnya, cara otak pesakit ADHD memproses maklumat berbeza daripada individu normal.
Sebagai ibu bapa, jika anak anda dikesan menunjukkan simptom tidak mampu memberi perhatian, hiperaktif dan impulsif, seeloknya bawalah berjumpa doktor. Dengan mengenal pasti masalah ADHD dari awal, potensi anak dapat dicungkil dan diasah sewajarnya.
Penulis: Editor ADHDMalaysia.com
Review: Nur Brkich (GD Psych, BSc)
Ada kisah & pengalaman ADHD yang hendak dikongsi? Hantarkan artikel anda di sini.