Kumpulan Sokongan ini menyediakan platform untuk ADHD dewasa berkongsi pengalaman mereka, mengetahui lebih lanjut tentang ADHD yang merangkumi simptom, kelebihan setiap individu dan kesukaran yang biasa dihadapi oleh individu ADHD.
Kumpulan Sokongan ini juga akan berkongsi tentang strategi bagi mengatasi gejala ADHD yang memberikan cabaran kepada individu ADHD untuk berada dalam hidup dan persekitaran neurotipikal.
Kumpulan sokongan ini adalah ruang selamat untuk ahli kumpulan berkongsi kisah mereka secara terbuka dan jujur tanpa dihakimi atau menerima sebarang kecaman.
Oleh itu, kisah peribadi yang dikongsikan semasa sesi akan kekal di dalam kumpulan untuk memastikan kerahsiaan dan keselamatan ahli kumpulan.
Dengan menyertai kumpulan sokongan, anda bersetuju dengan perjanjian kerahsiaan kami. Kerahsiaan ini turut merangkumi larangan untuk merakam, tangkapan skrin atau gambar semasa sesi berjalan. Jika peraturan kerahsiaan ini dilanggar, anda mungkin akan diminta meninggalkan kumpulan.
Nota: Jika sesiapa dianggap berada dalam bahaya atau mungkin membahayakan orang lain, kerahsiaan mungkin akan didedahkan oleh fasilitator untuk memastikan keselamatan ahli kumpulan.