Setiap hari, individu ADHD bergelut dengan gangguan-gangguan daripada gejala yang mereka hadapi. Kajian mendapati 4-7% populasi dunia mempunyai ADHD, namun fokus kajian hanyalah terhadap kanak-kanak.
ADHD mempunyai hubung kait dengan ketidakseimbangan sistem saraf di bahagian otak. Penyelidikan setakat ini telah menunjukkan ADHD mungkin disebabkan oleh beberapa faktor utama iaitu genetik dan persekitaran.
Faktor Genetik
Faktor terbesar ADHD berpunca daripada genetik.
Kebanyakan kes, kanak-kanak mewarisi gen ini daripada ibu bapa walaupun mereka tidak pernah didiagnosis dengan ADHD.
Jika ADHD dewasa didiagnosis, lazimnya pakar kesihatan akan bertanyakan tentang ahli keluarga yang mungkin mengalami gangguan perkembangan saraf ini.
Penyelidikan menunjukkan bahawa jika seseorang mempunyai ADHD, berkemungkinan ibu, bapa atau adik-beradik turut mempunyai gejala ADHD.
Faktor Persekitaran
- Pendedahan kanak-kanak kepada bahan tertentu seperti ubat tanpa preskripsi, alkohol, dan dadah boleh menjadi golongan berisiko ADHD. Penting bagi kanak-kanak dilindungi terutama peringkat awal tumbesaran daripada ibu bapa yang mempunyai masalah ini.
- Ibu mengandung yang mengambil ubat, alkohol dan dadah tanpa kawalan juga boleh membahayakan kandungan. Apa yang diambil oleh ibu mengandung pastinya memberi kesan kepada bayi yang dikandungnya. Malah kelahiran pramatang dan bayi dilahirkan tidak cukup berat juga berisiko mempunyai ADHD.
- Seseorang yang terdedah kepada penyakit atau trauma di bahagian otak yang mengganggu saraf berkaitan ADHD.
- Walaupun sangat jarang didengar, pendedahan terhadap bahan toksin dalam jangka masa lama seperti plumbum juga meningkatkan risiko ADHD.
Jika ADHD tidak dirawat, lambat-laun ia berpotensi menyukarkan rutin harian, merangkumi pelbagai aspek kehidupan.
Seseorang dengan ADHD akan mengalami kerisauan (anxiety) dan kemurungan (depression) disebabkan gejala-gejala yang tidak dapat dikawal.
Rawatan ADHD
Bagi mendapatkan rawatan untuk situasi ADHD, ada beberapa langkah yang perlu dilakukan, melibatkan dua fasa iaitu sebelum dan selepas diagnosis.
Sebelum Diagnosis
- Surat Rujukan
Langkah pertama adalah bertemu dengan doktor perubatan di klinik swasta atau kerajaan untuk mendapatkan surat rujukan.
- Janji Temu Pakar Psikologi
Menggunakan surat rujukan, buat janji temu dengan pakar psikologi atau psikiatri bagi mendapatkan diagnosis formal daripada pakar mereka.
Selepas Diagnosis
Pengesahan diagnosis ialah sebuah permulaan kehidupan baru bagi individu ADHD yang bergelut selama ini. Langkah seterusnya ialah mendengar dan berbincang pilihan rawatan yang ada.
- Bersikap Terbuka
Penting bagi ADHD dewasa mengamalkan sikap terbuka ini. Pertama sekali, untuk menerima hakikat dan memahami bahawa gejala dan kesukaran dalam hidup yang dialami adalah disebabkan ADHD.
Kedua, sebagai persediaan untuk menerima rawatan.
- Memulakan Rawatan
Sudah pasti, soalan-soalan tentang terapi dan ubat-ubatan bermain di fikiran. “Apa kesan sampingan ubat ini? Adakah terapi ini dapat membantu mengatasi gejala yang saya alami?”
Dalam sesi rawatan, pakar psikiatri akan menerangkan tentang ADHD dewasa dan pilihan pelan rawatan yang ada. Doktor akan berkongsi informasi keberkesanan rawatan dan risiko penggunaan ubat-ubatan.
Jika tidak melalui rawatan dan mempelajari kaedah menanganinya, gejala tersebut akan memberi kesan yang lebih parah kepada kualiti kehidupan.
- Pengambilan Ubat-ubatan
Tidak dapat dinafikan pada peringkat awal, ubat dapat membantu individu ADHD mengurangkan kesukaran dan gejala dalam kehidupan seharian. Ia membantu mengawal perilaku yang menyebabkan kesukaran selama ini.
Terdapat dua kategori ubat iaitu stimulan dan bukan stimulan.
Stimulan
Ubat jenis stimulan ialah perangsang yang bertindak cepat dalam mengurangkan gejala hiperaktif dan impulsif. Ia juga mampu meningkatkan fokus dan perhatian. Contoh stimulan ialah Methylphenidate (Concerta dan Ritalin).
Bukan Stimulan
Ubat bukan stimulan pula memerlukan waktu yang lebih lama untuk memberi kesan berbanding stimulan. Namun ia pilihan yang lebih baik sekiranya stimulan memberi kesan sampingan yang teruk dan tidak dapat ditangani. Contoh ubat bukan stimulan ialah Atomoxetine (Strattera).
Kesan Sampingan
Pengambilan ubat akan menimbulkan kesan sampingan seperti masalah sukar tidur, kehilangan selera makan, penurunan berat badan, pening atau sakit kepala.
Dalam tempoh rawatan, individu ADHD perlu berkongsi maklumat tentang keberkesanan dan kesan sampingan jenis-jenis ubat yang diambil.
Dengan maklumat ini, doktor akan menilai dan menyesuaikan preskripsi mengikut dos yang tepat dan sesuai dengan anda. Ini adalah kerana, tidak semua ubat sesuai untuk semua individu.
Seseorang mungkin serasi terhadap satu ubat tetapi tidak semestinya berkesan dengan individu yang lain. Keseimbangan antara manfaat ubat dan efek sampingan yang minimum merupakan faktor dan kriteria dalam pemilihan ubat bagi setiap individu.
Dalam kebanyakan kes, pelan rawatan terbaik bagi individu ADHD adalah gabungan penggunaan ubat-ubatan dan psikoterapi.
Terapi membantu untuk mereka belajar mengawal dan mengurus gejala, memberi sokongan dari segi perubahan gaya hidup dan kemahiran sosial. Keberkesanan kombinasi ini dilihat lebih efektif dengan komitmen yang berterusan.
Kesimpulan
Dalam menjalani rawatan, kesedaran individu ADHD itu sendiri penting untuk menerima, komited dan menyesuaikan diri dengan rutin yang baru.
Mereka memerlukan sokongan ahli keluarga dan orang terdekat untuk melalui kehidupan harian yang lebih baik. Mereka sebenarnya juga mahu menjadi insan yang produktif tanpa menyusahkan orang lain.
Rujukan
Dr Rowina Murray. (2022, Feb 15). ADHD Dewasa: Diagnosis. [Video] https://www.youtube.com/watch?v=bEJ-iJEKD0A
CDC. (2021, Sep 23). Attention-Deficit / Hyperactivity Disorder (ADHD). https://www.cdc.gov/ncbddd/adhd/facts.html
Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar. (2020, Jul 24). Anak Anda Sukar Dikawal? Berkemungkinan Anak Anda Mengalami Penyakit ADHD. https://www.doctoroncall.com.my/soalan/penyakit-adhd
NHS. (2021, Dis 24). Attention deficit hyperactivity disorder (ADHD). https://www.nhs.uk/conditions/attention-deficit-hyperactivity-disorder-adhd/causes/
Artikel disemak oleh: Siti Sumayyah Binti Muhamad Faiq (Ahli Farmasi RPh 8958)
Photo by Warren Umoh on Unsplash
