SOKONGAN UNTUK PENGHIDAP ADHD DEWASA

Apabila mengetahui ada kenalan atau ahli keluarga yang menghidap ADHD, kita hilang punca, tidak tahu bagaimana mahu membantu? Salah satu perkara yang diperlukan adalah sokongan. Dalam perkongsian kali ini, sama-sama kita lihat jenis-jenis sokongan untuk individu ADHD.

Setelah Mendapat Diagnosis

Menelusuri kehidupan sebagai salah seorang individu ADHD merupakan satu jalan yang berliku-liku terutama buat individu ADHD yang mendapat diagnosis ketika sudah dewasa. Kelainan pada diri sendiri yang dirasai selama ini akhirnya terjawab. 

Cara pemikiran mereka yang berbeza dengan individu normal menyebabkan mereka rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan diri sendiri. Apabila diluahkan kepada orang lain, tiada siapa yang dapat memahami. Setiap masa mereka menghadapi masalah tidak yakin diri. 

Namun, setelah mendapat diagnosis, ia tidaklah mengubah keadaan mereka menjadi lebih baik. Cabaran dan kesukaran mengendali kehidupan tetap wujud, cuma melalui diagnosis, individu ADHD sudah tahu punca yang menjadikan pemikiran mereka berbeza. 

Sokongan Orang Sekeliling

Selain mendapatkan rawatan doktor, individu ADHD memerlukan sokongan orang lain di sekeliling mereka bagi menjalani kehidupan dengan lebih baik. Jika ada antara ahli keluarga dan kawan rapat kita merupakan individu ADHD, jadilah pendengar yang baik kepada mereka. Walaupun tidak dapat memahami apa yang mereka rasa, kita boleh bantu mengubah perspektif pemikiran mereka.

Individu ADHD sering mempunyai fikiran negatif dalam diri sehingga mereka terlepas pandang akan perkara positif yang wujud. Apabila fikiran negatif mula meracuni fikiran, mereka perlukan teman untuk bercerita. 

Contohnya ketika situasi mereka perlu membuat pembentangan di hadapan ramai orang. Setelah pembentangan tamat, hampir keseluruhan penonton memberikan tepukan yang gemuruh. Hanya seorang sahaja yang memberikan komen bahawa pembentangan tersebut membosankan. Individu ADHD akan fokus terhadap seorang yang memberikan komen negatif ini dan membuat konklusi sendiri bahawa pembentangannya tidak bagus. Jadi, individu ADHD perlukan seseorang untuk betulkan perspektif mereka dan menilai daripada sudut pandang positif. Dalam situasi ini, kita boleh beritahu bahawa ada lebih ramai yang suka pembentangan tersebut, maka individu ADHD perlu berbangga dengan usaha yang dilakukan. 

Pada kebanyakan orang, perkara ini nampak biasa. Namun bagi individu ADHD, ini merupakan cabaran harian yang berada di luar kawalan mereka. Masalah keyakinan diri tetap timbul walaupun mereka sudah mencapai pelbagai kejayaan dalam hidup.

Sokongan Komuniti ADHD

Selain ahli keluarga dan rakan, sokongan komuniti ADHD juga merupakan satu langkah yang bagus. Berada dalam komuniti yang mempunyai keadaan neurologi yang sama menjadikan individu ADHD lebih mudah untuk memahami antara satu sama lain.

Walaupun simptom setiap individu ADHD tidak sama, namun mereka akan temui persamaan besar seperti kepayahan menjalani kehidupan seharian. Dengan adanya komuniti ini, mereka boleh menjadi diri sendiri dan rasa selamat untuk saling berkongsi cerita mengenai cabaran yang perlu dilalui setiap hari. Mereka juga boleh mendapatkan nasihat daripada individu ADHD lain untuk mengatasi cabaran yang dihadapi.  

Sokongan Lain

Individu ADHD juga boleh mendapatkan sokongan dengan memelihara haiwan. Tiada bukti yang jelas mengatakan haiwan peliharaan membantu individu ADHD. Namun, memelihara haiwan boleh memberi ketenangan kepada kebanyakan orang. Keletah comel haiwan ini pastinya akan membuat sesiapa sahaja terhibur termasuk individu ADHD. Jadi, tidak salah untuk individu ADHD mula bela haiwan yang disukai. Mereka boleh membina hubungan yang akrab dengan haiwan kesayangan.

Selain itu, menghargai keindahan alam semula jadi, berdamai dengan masa lalu, dan melakukan aktiviti kerohanian juga merupakan terapi terbaik untuk individu ADHD. Perkara-perkara ini dapat membantu individu ADHD membina imej positif terhadap diri sendiri. Apabila mereka rasa positif terhadap diri sendiri, mereka juga akan rasa positif terhadap kehidupan.  

Kesimpulan

Mempunyai ADHD tidak semestinya merupakan satu kekurangan buat penghidapnya. Aktiviti seharian yang dilalui lebih mencabar berbanding individu normal, tetapi jika individu ADHD boleh mengawal simptom ADHD dengan baik, mereka juga berpotensi untuk berjaya dalam kehidupan melalui cara mereka yang tersendiri.

Rujukan

Hallowell, E. & McCabe J.L. (2017, July 14). How to ADHD with Special Guest Dr. Hallowell. [Video] YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=kbjugrYhNzY

Rosen, P. (n.d.) FAQs about pets for kids with ADHD. https://www.understood.org/articles/en/faqs-about-pets-for-kids-with-adhd

Thornhill, B. & McCabe J.L (2017, May 29) What it’s Like to be Diagnosed with ADHD as an Adult. [Video] YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=DNCDwUv_gkQ

Review oleh: Dr. Arifah Abd Rahim

Ada kisah & pengalaman ADHD yang hendak dikongsi? Hantarkan artikel anda di sini.

Tingkatkan Kesedaran ADHD Anda

Sertai Konvensyen Virtual ADHD Malaysia yang bakal berlansung pada 10-21 Disember ini.

One comment

  1. omggg tentang having a pet tu, it is so TRUEEEEE. before diagnosis, petting a rabbit is one of my coping skills to be more dicipline, wake up early in the morning and as a companion untuk dengar semua masalah masa zaman belajar (sebab manusia biasa terlalu rumit utk memahami kita. huhu) tapi bila motivation tu dah hilang, tah ke mana2 rebit lepas pastu hilang. hahaha. what to do? we are ADHD with consistent inconsistency meh…. xD

Comments are closed.

APA ITU ADHD?

Nama saintifik ADHD adalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder. Dalam Bahasa Melayu, ADHD ialah; Gangguan Kekurangan Perhatian dan Hiperaktif.Maksud ADHD tidak

Teruskan Bacaan »

KENALI ADHD

“Anak puan mempunyai masalah untuk fokus di  dalam kelas, suka bermain, kacau kawan dan kadang-kadang mengelamun jauh.” Apabila guru memberitahu

Teruskan Bacaan »