STIGMA TERHADAP INDIVIDU ADHD DAN CARA MENGATASI

“Kamu ada ADHD, bagaimana nak teruskan bekerja dengan baik?”

“Awak macam tak ada masalah pun nak belajar, maknanya awak okey, kan?”

“Saya lihat kamu sihat sahaja, kenapa pula nak mengada-adakan cerita pasal ADHD? Mahu dapat layanan istimewa?”

Apabila mendapat respon begini, individu ADHD dewasa akan tertanya-tanya pada diri;

“Betul ke aku ni ada ADHD?” 

Ataupun ada situasi lain, mereka tidak mahu dilihat sebagai individu yang mempunyai situasi kesihatan. Walhal mereka berasa ada sesuatu yang mengganggu fungsi harian.

Malah mereka sudah pun mencari dan mendapatkan banyak informasi tentang gejala ADHD. Tapi disebabkan stigma orang yang rapat, mereka sendiri akhirnya lambat mendapatkan bantuan.

Ada juga sudah menerima diagnosis daripada pakar psikiatri, tetapi keluarga atau rakan rapat masih berasa sangsi. 

Disebabkan stigma, keadaan kesihatan individu ADHD didiskriminasikan berdasarkan karakter yang dilihat normal . 

Kenapa Ada Stigma?

Sungguhpun terdapat perkongsian maklumat kesihatan mental di media, program kesedaran terhadap isu ini masih belum mencapai tahap yang memuaskan. 

Masyarakat yang kurang faham cenderung untuk melabel individu ADHD sebagai mengada-ngada, malas, lemah atau tidak tahan dengan cabaran pekerjaan. Satu lagi tanggapan yang salah, seseorang yang berjaya dalam kerjaya tidak mungkin mempunyai situasi ADHD. 

Tekanan sebegini menyebabkan individu itu mengelak daripada berkongsi keadaan diri dengan orang terdekat, bimbang disalah anggap.

Jenis-jenis Stigma

Stigma ini terbahagi kepada dua, iaitu luaran dan dalaman.

Stigma Faktor Luaran

Masyarakat yang kurang kesedaran mengenai ADHD menyebabkan individu ADHD menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Tanggapan stereotaip oleh keluarga atau rakan rapat seperti pemalas, cuai atau lembab mengakibatkan mereka menyalahkan diri dan berasa rendah diri

Walaupun mungkin orang terdekat sudah mengetahui keadaannya, mereka tetap melayan seperti tiada apa-apa yang berlaku kerana beranggapan semua itu adalah perkara “dalam kepala mereka” sahaja.

Jika terdapat polisi kesihatan mental di tempat kerja tetapi pelaksanaannya lemah, diskriminasi pengambilan pekerja baru atau layanan berbeza terhadap pekerja sedia ada akan berlaku.

Sokongan yang masih kurang daripada pelbagai pihak seperti agensi kerajaan dan institusi pengajian perlu ditingkatkan.

Kita perlu menyediakan ruang dan kemudahan kepada mereka yang mengalami isu kesihatan mental. Bukan untuk menjatuhkan, tetapi mengajak mereka bangkit dan bersama-sama mengatasi situasi.

Stigma Faktor Dalaman 

Bagaimana penerimaan diri setelah didiagnosis oleh psikiatri?

Pada awalnya pasti agak sukar untuk menerima hakikat diri yang lain daripada orang biasa.

Stigma diri mula timbul, rasa kekurangan pada diri kerana berasa tidak mampu berjaya seperti orang lain. Tidak mustahil, pada satu tahap individu ini akan berasa diri sendiri tidak berguna. 

Stigma diri dikeruhkan pula dengan stigma luaran menyebabkan ADHD dewasa diselubungi pemikiran negatif. Kesannya? Mereka kurang berkeyakinan, mudah patah semangat, dan akhirnya dilanda kemurungan (depresi), disebabkan sangkaan bahawa semua itu disebabkan kelemahan diri.  

Akibat stigma, mereka mungkin lambat mendapatkan rawatan. Boleh jadi dalam proses rawatan, timbul pula situasi ragu-ragu pada ubat-ubatan. Kenyataannya, perubatan dan terapi boleh membantu jika stigma luaran dan diri dapat diatasi lebih awal.

Bagaimana mengatasi stigma?

Individu ADHD perlu mengatasi keraguan ini dan yakin bahawa mereka juga boleh berjaya. Salah satu, mencari aktiviti bersesuaian mengikut kemampuan dan skil yang dimiliki.

Mereka akan lebih cemerlang dalam perkara yang diminati. Setiap individu ADHD berbeza, maka tahap kesukaran menguruskan gejala juga berlainan. 

Bagaimanakah cara untuk mengatasi stigma ini?

1. Pendidikan

Baca, baca dan baca. Hanya dengan ilmu, individu ADHD dapat mengatasi stigma luar dan diri. Hadirkan ke program & wacana ilmiah. Didik diri dahulu, barulah berkongsi pengetahuan dengan orang lain.

Penerimaan diri 

Walaupun sudah dibekalkan dengan maklumat berkaitan, namun jika masih dalam penafian, agak sukar untuk meneruskan kehidupan. Aktiviti rutin akan lebih mudah apabila individu ADHD mula menerima keadaan diri

Dengan rawatan, ADHD dewasa mampu mengurus diri dengan lebih baik. Perlu menerima bahawa dengan adanya pelbagai bantuan, mereka juga boleh berjaya. 

Kefahaman dan Kesedaran Awam

Pelbagai program perlu dijalankan untuk kesedaran masyarakat terutama daripada kerajaan dan agensi berkaitan. Sebagai individu ADHD, anda juga boleh menjadi “duta” berkongsi maklumat dengan keluarga dan rakan. Walaupun dalam skala kecil dan mengambil masa, usaha itu membantu dalam menyebarkan kesedaran. 

Anda boleh juga turut serta dalam progam awam dan bersama-sama menyampaikan maklumat. Jadilah ejen perubahan untuk melahirkan masyarakat lebih peduli dan ambil berat.

Persekitaran yang menyokong

Latar belakang keluarga dan persekitaran yang menyediakan sokongan amat membantu individu ADHD. Keadaan ini sedikit sebanyak memudahkan mereka menjalani rutin harian terutama di tempat belajar atau kerja.

Jika perlu, berundinglah dengan pihak majikan. Mungkin anda memerlukan waktu kerja yang fleksibel, ataupun memerlukan ruang kerja yang tersendiri.

Individu ADHD memiliki kelebihan tersendiri jika berada di tempat yang betul dengan sokongan yang baik.

Kesimpulan

Stigma menghalang ADHD dewasa mencapai potensi sebenar. Pandangan serong lebih-lebih lagi daripada keluarga dan rakan rapat menyukarkan lagi kehidupan ADHD dewasa. 

Aspek pendidikan dan kesedaran umum dapat mengurangkan persepsi negatif terhadap individu ADHD. Dengan dorongan dan sokongan, mereka mampu fokus kepada rawatan dan pengurusan gejala yang lebih baik demi menikmati kehidupan lebih tenang dan teratur.

Hentikan salah faham, baca dan hadamkan situasi. Anda boleh mengubahnya.

Rujukan

Fatiha Shuib. (2022, Apr 9). ADHD Dewasa: Stigma & Diskriminasi. https://adhdmalaysia.com/siri-webinar-adhd-dewasa-selepas-diagnosis/ 

Carl Sherman, P.H.D. (2021, Apr 13). Coping With the Stigma of ADHD. https://www.additudemag.com/overcoming-adhd-stigma/ 

Austin Harvey. (2022, Apr 19). Unpacking The Stigma Around Adult ADHD.

https://www.discovermagazine.com/mind/unpacking-the-stigma-around-adult-adhd

Jenev Caddell. (2022, Feb 15). What Is Stigma? https://www.verywellmind.com/mental-illness-and-stigma-2337677 

Photo by Joshua Rawson-Harris on Unsplash

Tingkatkan Kesedaran ADHD Anda

Sertai Konvensyen Virtual ADHD Malaysia yang bakal berlansung pada 10-21 Disember ini.

APA ITU ADHD?

Nama saintifik ADHD adalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder. Dalam Bahasa Melayu, ADHD ialah; Gangguan Kekurangan Perhatian dan Hiperaktif.Maksud ADHD tidak

Teruskan Bacaan »

KENALI ADHD

“Anak puan mempunyai masalah untuk fokus di  dalam kelas, suka bermain, kacau kawan dan kadang-kadang mengelamun jauh.” Apabila guru memberitahu

Teruskan Bacaan »