Penghidap ADHD: Cabaran Sebagai Neurodivergent Dewasa & Gaya Hidup Yang Sesuai Buat Individu ADHD.

Perlukah Saya Dapatkan Diagnosis?

Individu dewasa yang mempunyai simptom ADHD kebanyakannya akan berasa mereka berbeza daripada orang lain. Antara perbezaan yang dialami adalah seperti kesukaran untuk menumpukan perhatian, tidak dapat duduk diam-diam untuk sesuatu tempoh atau sukar mengawal keterujaan.

Mereka juga selalu meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi terhadap diri sendiri dan apabila tidak berjaya mencapainya, mereka akan mudah berasa kecewa dan mengkritik diri.

Jika anda yakin ada beberapa gejala ADHD yang dialami, jumpa pakar perubatan untuk dapatkan diagnosis dengan segera untuk memastikannya.

Rawatan Psikiatri Atau Psikologi?

Langkah pertama ialah berjumpalah dengan mana-mana doktor tidak kira klinik kerajaan atau swasta untuk mendapatkan surat rujukan. Kemudian bawa surat itu berjumpa dengan pakar kesihatan seperti pakar psikologi atau psikiatri. Hanya doktor pakar yang boleh mengesahkan sekiranya anda betul-betul menghidap ADHD atau kategori kesihatan lain. 

Pakar psikiatri akan membuat penilaian dalam sesi rawatan. Mereka akan bertanya tentang kehidupan anda semasa kecil hingga dewasa. Doktor akan menilai simptom anda berdasarkan DSM-V (Diagnostic Statistical Manual 5) ketika saringan kriteria sebelum mengesahkan anda dengan diagnosis ADHD.

Apabila pesakit telah disahkan, pakar psikiatri akan menetapkan ubat yang sesuai dengan anda. Secara amnya ada dua jenis ubat iaitu stimulant dan non-stimulant. Ubat-ubat ini secara am tidak menyebabkan apa-apa kesan tetapi ada yang mungkin akan mengalami kesan sampingan seperti seperti sakit kepala, kurang selera makan dan insomnia.

Sokongan Keluarga Dan Rakan-Rakan

Doktor pakar mungkin meminta anda membawa pasangan atau ahli keluarga untuk sesi perjumpaan. Sokongan moral dan emosi orang terdekat penting untuk individu ADHD menjalani kehidupan harian mereka. 

Rutin ADHD Dewasa

Individu ADHD perlu membiasakan diri dengan rutin yang baru untuk membantu mereka memudahkan urusan harian. Jika mudah lupa, perlu set peringatan untuk janji temu. Jika sukar fokus ketika bekerja, ambil masa rehat sebentar dan sambung semula. Sediakan saaran-sasaran kecil untuk menyiapkan kerja supaya lebih fokus. Anda akan dapat mengawal masa dan tekanan.

Bagi individu dengan hiperaktif defisit, kurangkan komitmen jika tidak mampu melibatkan diri secara aktif. Misalnya, jika sudah menyertai gim, tidak perlu menyertai kelas senaman lain. Atau anda akan cenderung untuk tidak aktif apabila menyertai sesi secara berterusan. Jadi, tumpukan kepada satu komitmen pada satu masa.

Topik ini dipetik daripada artikel – ADHD: PERLUKAH SAYA DAPATKAN DIAGNOSIS?

Cabaran Sebagai Individu ADHD Dewasa

Cabaran Alam Pekerjaan

 “Kenapa aku tidak boleh mengetuai team di unit baru ni?” Ada individu ADHD yang mula trigger apabila mendapat kenaikan pangkat.

Jawatan baru itu memerlukannya mengetuai kumpulan baru. Tekanan mula muncul apabila terpaksa mengenali orang baru dan pada masa yang sama perlu membahagikan kerja. Laporan projek juga perlu diserahkan kepada atasannya selain memastikan projek selesai mengikut masa yang ditetapkan. Tekanan sebegini boleh membuatkan individu ADHD dilanda cemas dan resah. Atau lebih teruk, individu ADHD akan mengalami serangan panik.

Cabaran Dalam Keluarga

Kadang-kadang ahli keluarga sendiri tidak faham walaupun individu ADHD cuba menerangkan berkali-kali mengenai situasi yang dihadapi. Sebabnya mereka mungkin tidak tahu atau kurang pendedahan tentang ADHD. Keadaan ini menyebabkan individu ADHD amat terkesan kerana dianggap mengada-ngada dan mahukan lebih perhatian.

“Awak lupa tarikh hari jadi saya? Ini bukan kali pertama!” 

Jika sudah berkahwin, pasangan akan berkecil hati jika tidak ingat tarikh-tarikh bermakna dalam kehidupan mereka. Maklumat itu mungkin “tidak penting” pada minda individu ADHD tetapi besar maknanya kepada pasangan. Pasangan mungkin berasa diri tidak dihargai.

Cabaran Kepada Kewangan

Salah satu gejala ADHD ialah impulsif. Mereka tidak berfikir panjang dan bertindak melulu. Pembelian impulsif adalah salah satu gejala ADHD. Situasi membeli barang yang tidak diperlukan sering berlaku. Jika tidak terkawal, tidak mustahil individu ADHD akan terbelenggu dengan masalah hutang.

Ada individu ADHD “suka” memberi pinjam duit apabila diminta, kemudian mereka sendiri lupa untuk mendapatkannya semula. Keadaan ini menjadikan individu ADHD senang ditipu oleh orang yang mengambil kesempatan.

Cabaran Sosial

Sesetengah individu ADHD sukar berinteraksi dengan baik. Ada yang lambat memproses perbualan dan ada yang suka mencelah ketika bercakap. Ini menyebabkan mereka dilabel pendiam, lembab atau suka menyampuk ketika berbual. Mereka mungkin kelihatan pelik atau tidak beradab. Stigma ini membuatkan mereka kurang selesa berada dalam kelompok orang ramai.

Topik ini dipetik daripada artikel – CABARAN ADHD DEWASA

Stigma Terhadap Individu ADHD & Cara Mengatasi

“Kamu ada ADHD, bagaimana nak teruskan bekerja dengan baik?”

“Awak macam tak ada masalah pun nak belajar, maknanya awak okey, kan?”

“Saya lihat kamu sihat sahaja, kenapa pula nak mengada-adakan cerita pasal ADHD? Mahu dapat layanan istimewa?”

Apabila mendapat respon begini, individu ADHD dewasa akan tertanya-tanya pada diri;

“Betul ke aku ni ada ADHD?” 

Ataupun ada situasi lain, mereka tidak mahu dilihat sebagai individu yang mempunyai situasi kesihatan. Walhal mereka berasa ada sesuatu yang mengganggu fungsi harian.

Malah mereka sudah pun mencari dan mendapatkan banyak informasi tentang gejala ADHD. Tapi disebabkan stigma orang yang rapat, mereka sendiri akhirnya lambat mendapatkan bantuan.

Ada juga sudah menerima diagnosis daripada pakar psikiatri, tetapi keluarga atau rakan rapat masih berasa sangsi. 

Disebabkan stigma, keadaan kesihatan individu ADHD didiskriminasikan berdasarkan karakter yang dilihat normal.

Kenapa Ada Stigma?

Masyarakat yang kurang faham cenderung untuk melabel individu ADHD sebagai mengada-ngada, malas, lemah atau tidak tahan dengan cabaran pekerjaan. Satu lagi tanggapan yang salah, seseorang yang berjaya dalam kerjaya tidak mungkin mempunyai situasi ADHD. 

Tekanan sebegini menyebabkan individu itu mengelak daripada berkongsi keadaan diri dengan orang terdekat, bimbang disalah anggap.

Jenis-jenis Stigma

Stigma ini terbahagi kepada dua, iaitu luaran dan dalaman.

Stigma Faktor Luaran

Masyarakat yang kurang kesedaran mengenai ADHD menyebabkan individu ADHD menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Tanggapan stereotaip oleh keluarga atau rakan rapat seperti pemalas, cuai atau lembab mengakibatkan mereka menyalahkan diri dan berasa rendah diri

Walaupun mungkin orang terdekat sudah mengetahui keadaannya, mereka tetap melayan seperti tiada apa-apa yang berlaku kerana beranggapan semua itu adalah perkara “dalam kepala mereka” sahaja.

Stigma Faktor Dalaman 

Bagaimana penerimaan diri setelah didiagnosis oleh psikiatri?

Pada awalnya pasti agak sukar untuk menerima hakikat diri yang lain daripada orang biasa.

Stigma diri mula timbul, rasa kekurangan pada diri kerana berasa tidak mampu berjaya seperti orang lain. Tidak mustahil, pada satu tahap individu ini akan berasa diri sendiri tidak berguna. 

Stigma diri dikeruhkan pula dengan stigma luaran menyebabkan ADHD dewasa diselubungi pemikiran negatif. Kesannya? Mereka kurang berkeyakinan, mudah patah semangat, dan akhirnya dilanda kemurungan (depresi), disebabkan sangkaan bahawa semua itu disebabkan kelemahan diri.  

Bagaimana mengatasi stigma?

Individu ADHD perlu mengatasi keraguan ini dan yakin bahawa mereka juga boleh berjaya. Salah satu, mencari aktiviti bersesuaian mengikut kemampuan dan skil yang dimiliki.

Mereka akan lebih cemerlang dalam perkara yang diminatiSetiap individu ADHD berbeza, maka tahap kesukaran menguruskan gejala juga berlainan. 

Bagaimanakah cara untuk mengatasi stigma ini?

1. Pendidikan

Baca, baca dan baca. Hanya dengan ilmu, individu ADHD dapat mengatasi stigma luar dan diri. Hadirkan ke program & wacana ilmiah. Didik diri dahulu, barulah berkongsi pengetahuan dengan orang lain.

Penerimaan diri 

Walaupun sudah dibekalkan dengan maklumat berkaitan, namun jika masih dalam penafian, agak sukar untuk meneruskan kehidupan. Aktiviti rutin akan lebih mudah apabila individu ADHD mula menerima keadaan diri

Dengan rawatan, ADHD dewasa mampu mengurus diri dengan lebih baik. Perlu menerima bahawa dengan adanya pelbagai bantuan, mereka juga boleh berjaya. 

Kefahaman dan Kesedaran Awam

Pelbagai program perlu dijalankan untuk kesedaran masyarakat terutama daripada kerajaan dan agensi berkaitan. Sebagai individu ADHD, anda juga boleh menjadi “duta” berkongsi maklumat dengan keluarga dan rakan. Walaupun dalam skala kecil dan mengambil masa, usaha itu membantu dalam menyebarkan kesedaran. 

Anda boleh juga turut serta dalam progam awam dan bersama-sama menyampaikan maklumat. Jadilah ejen perubahan untuk melahirkan masyarakat lebih peduli dan ambil berat.

Persekitaran yang menyokong

Latar belakang keluarga dan persekitaran yang menyediakan sokongan amat membantu individu ADHD. Keadaan ini sedikit sebanyak memudahkan mereka menjalani rutin harian terutama di tempat belajar atau kerja.

Jika perlu, berundinglah dengan pihak majikan. Mungkin anda memerlukan waktu kerja yang fleksibel, ataupun memerlukan ruang kerja yang tersendiri.

Individu ADHD memiliki kelebihan tersendiri jika berada di tempat yang betul dengan sokongan yang baik.

Kesimpulan

Stigma menghalang ADHD dewasa mencapai potensi sebenar. Pandangan serong lebih-lebih lagi daripada keluarga dan rakan rapat menyukarkan lagi kehidupan ADHD dewasa. 

Aspek pendidikan dan kesedaran umum dapat mengurangkan persepsi negatif terhadap individu ADHD. Dengan dorongan dan sokongan, mereka mampu fokus kepada rawatan dan pengurusan gejala yang lebih baik demi menikmati kehidupan lebih tenang dan teratur.

Topik ini dipetik daripada artikel – STIGMA TERHADAP INDIVIDU ADHD DAN CARA MENGATASI

ADHD & Social Anxiety

Social anxiety ialah perasaan takut atau malu berlebihan (fobia) untuk kelihatan tidak cekap, cuai, lemah, atau tidak setara dengan standard di mata orang lain.

Ini hanyalah andaian pesakit semata-mata bahawa semua orang boleh nampak dengan jelas kelemahan dia dan akan menyalahkan dia, walau belum tentu orang lain akan berikan reaksi begitu.

Disebabkan andaian ini, mereka yang mengalami social anxiety takut untuk berjumpa dan berinteraksi dengan orang ramai. Mereka memencilkan diri dan sering rasa kesunyian.

Contohnya, bila kawan rapat tidak balas mesej kita berhari-hari dan kita runsing memikirkan, “Dia benci aku ke? Aku ada buat salah apa?” hingga menjejaskan hubungan.

Pesakit social anxiety pula takut disalah anggap (fear of negative evaluation) dan takut tidak diterima (fear of rejection)

lalu sering memilih untuk mengelak daripada situasi yang membuatkan mereka tidak selesa, walaupun dengan mengelak membuatkan keadaan bertambah buruk.

Jika anda mengesyaki anda ada social anxiety, disarankan:

1) Berjumpa dengan psikiatris atau ahli psikologi klinikal bagi mendapatkan konsultasi

2) Antara ujian penilaian yang digunakan membantu proses diagnosis ialah:
     – Liebowitz Social Anxiety Scale (LSAS)
     – Social Phobia and Anxiety Scale (SPAI)
     – Brief Social Phobia Scale (BSPS)
     – Social Phobia Inventory (SPIN)
     – Social Interaction Anxiety (SIAS) & Social Phobia Scale (SPS)

3) Dapatkan intervensi dalam bentuk psikoterapi dan/atau ubat selective serotonin reuptake inhibitor (SSRI) seperti fluvoxamine (Luvox), sertraline (Zoloft) atau paroxetine (Paxil)

Topik ini dipetik daripada artikel – ADHD & SOCIAL ANXIETY

5 Perubahan Gaya Hidup Yang Membantu Individu ADHD Dewasa

1. Meditasi

Meditasi seperti yoga dan mindfulness membantu dalam mengurangkan stres. Aktiviti ini dapat menenangkan fikiran, manakala gejala kurang daya tumpuan dapat ditingkatkan dengan latihan daya fokus.

Mindfulness merupakan meditasi yang melatih seseorang untuk fokus terhadap keadaan tubuh badan seperti pernafasan, perasaan, dan situasi sekitar. Ia melatih anda untuk mengembalikan fikiran yang melayang pada saat anda terganggu. 

2. Senaman

Secara amnya senaman membantu kesihatan fizikal seperti mengurangkan berat badan dan menguatkan otot. Namun kajian menunjukkan senaman juga membantu kesihatan mental. 

ADHD dewasa mengalami ketidakseimbangan neurotransmitter dalam otak dan senaman dapat meningkatkan kadar hormon dopamin dan endorfin. 

Dopamin membantu meningkatkan daya tumpuan manakala endorfin memberikan rasa feel good atau kelegaan pada badan. 

3. Diet dan suplemen

Tidak dinafikan, diet yang betul dapat membantu seseorang mencapai tahap kesihatan optimum.

Jika orang mahu menurunkan berat badan, mereka amalkan diet yang menyokong pengurangan berat badan. Malah penghidap sakit kronik seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis juga akan mengubah pengambilan makanan harian mereka.

Begitu juga boleh dilakukan oleh individu ADHD. Asid lemak omega-3 seperti terdapat pada ikan atau kekacang adalah pengambilan makanan terbaik untuk otak. Maka, banyakkan pengambilan protein dan sayuran dalam menu harian. 

Nutrien seperti vitamin D, zink dan besi juga baik untuk fungsi otak. Jika tiada masa memasak, anda boleh mengambil dalam bentuk pil atau kapsul sebagai suplemen tambahan. Selain itu, ada juga yang mengelakkan kandungan perasa tiruan, pewarna dan gula yang berlebihan dalam makanan.

4. Tidur

Manusia dewasa perlu tidur 6 hingga 8 jam sehari. Jika tidak cukup tidur atau menghadapi tidur tidak lena dan selalu terjaga, badan akan mudah lesu. 

Individu ADHD yang menghadapi masalah tidur akan mengalami gejala ADHD yang lebih parah. Tidur berkualiti dapat memberi kesegaran pada badan dan otak.

Berlatih untuk tetapkan waktu masuk tidur dan waktu bangun tidur setiap hari untuk mendapatkan tabiat tidur yang lebih baik.

5. Alat bantuan 

ADHD dewasa tertarik atau peka pada visual dan audio. Jadi alat bantuan tidak kira seperti barang, perkakas atau aplikasi telefon pintar dan perisian komputer amat membantu rutin kehidupan mereka. 

Teknologi nyata dapat menambah baik kehidupan dengan memudahkan urusan supaya menjadi lebih cekap dan produktif. Beberapa contoh berikut mungkin boleh membantu anda.

  • Visual Timer (pemasa visual) – Untuk yang mahukan bantuan peringatan atau set masa, pemasa berwarna ini memudahkan individu ADHD melihat masa yang berbaki untuk menyiapkan sesuatu kerja. 

Sesuai untuk mereka yang sering lupa, alat bantu ini dapat menghindarkan kecuaian domestik seperti kecuaian waktu memasak di dapur. 

  • Botol air dengan penanda masa – Minum air sangat penting, lebih-lebih lagi bagi yang mengambil ubat secara berkala. Jika ada penanda masa, mereka lebih bermotivasi untuk minum sekali gus mencukupkan pengambilan air setiap hari.
  • Sleeptown – Untuk mendapatkan tabiat tidur yang sihat. Alat bantu ini ada unsur gamifikasi untuk melatih waktu tidur yang konsisten setiap hari.
  • Waterdo – Membantu anda merancang dan tetapkan senarai tugas dengan mudah dan menyeronokkan. Ada unsur gamifikasi yang menyebabkan pengguna teruja untuk menyelesaikan sesuatu tugas.
  • Eyeleo – Aplikasi komputer yang sentiasa mengingatkan anda untuk merehatkan mata sebentar ketika asyik berkerja.

Topik ini dipetik daripada artikel – 5 PERUBAHAN GAYA HIDUP

Rujukan